MOTOSIKAL digunakan dua suspek selepas menyamun kedai runcit di Jalan Aston, Bukit Mertajam, Khamis lalu. FOTO Ihsan Polis
MOTOSIKAL digunakan dua suspek selepas menyamun kedai runcit di Jalan Aston, Bukit Mertajam, Khamis lalu. FOTO Ihsan Polis
Shamsul Munir Safini


DUA rakan baik diberkas polis selepas menyamun wang tunai dari sebuah kedai runcit di Jalan Aston, Bukit Mertajam, jam 5.30 petang, Khamis lalu.

Dalam kejadian itu, dua lelaki termasuk seorang remaja berusia 17 dan rakannya berusia 20 tahun datang ke kedai berkenaan ketika penjaga kedai sedang mengira wang jualan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid berkata, suspek kemudian menyerbu ke arah mangsa dan bertindak menarik wang tunai daripada tangan penjaga kedai terbabit.

“Mangsa pada mulanya enggan melepaskan wang itu sebelum seorang lagi suspek bertindak memukul mangsa menggunakan topi keledar.

“Lelaki berkenaan masih enggan melepaskan wangnya sebelum suspek mengacukan pisau ke arahnya,” katanya.

Menurutnya, pisau itu terkena tangan kiri mangsa sebelum suspek melarikan diri.

“Mangsa kemudian menjerit meminta tolong selepas suspek dilihat cuba melarikan diri dan hilang,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, sejurus menerima laporan, polis kemudian melakukan serbuan di sebuah pasar raya sebelum menahan dua lelaki berusia 17 dan 20 tahun.

Katanya, hasil pemeriksaan, polis menemui pisau digunakan ketika menyamun di dalam beg dipegang salah seorang mereka.

Menurutnya, polis juga menemui motosikal dilaporkan hilang di Bukit Tengah tahun ini.

Katanya, suspek mengaku terbabit dalam beberapa siri kejadian samun dan turut memiliki rekod jenayah lampau.

Nik Ros Azhan berkata, kedua-dua mereka kini ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 4:16 PM