Hadzlihady Hassan


KERANI spa sanggup membuat laporan palsu mendakwa disamun, namun siasatan mendapati dia sebenarnya berpakat dengan teman lelaki untuk melarikan wang berjumlah RM17,300 milik majikannya yang baru dikeluarkan dari bank di Jalan Todak 3, Bandar Sunway, Seberang Jaya, semalam.

Malah ketika disiasat, wanita berusia 22 tahun itu mendakwa yang wang berkenaan dikebas kerana mahu menghabiskannya untuk membeli-belah bersama teman lelaki.

Bagaimanapun, wanita terbabit kini ditahan manakala teman lelakinya pula sudah melarikan diri bersama wang yang dicuri itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, wanita itu dalam laporannya mendakwa dia disamun seorang lelaki yang menunggang motosikal 11 pagi, semalam ketika mahu mengambil keretanya selepas selesai urusan mengeluarkan wang.

“Bagaimanapun hasil siasatan lanjut, suspek akhirnya mengaku yang dia sebenarnya merancang bersama teman lelaki untuk melarikan wang terbabit.

“Suspek juga memberitahu yang dia memang ditugaskan setiap bulan untuk mengeluarkan wang milik majikan bagi membayar gaji pekerja lain,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, berikutan itu suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

“Kita juga sedang memburu teman lelaki suspek berusia 22 tahun yang kini melarikan diri bersama wang yang dicurinya itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 5:11 PM