MANGSA bersama Michael (kanan) menunjukkan gambar yang dilakukan individu dikenali melalui aplikasi sosial.
MANGSA bersama Michael (kanan) menunjukkan gambar yang dilakukan individu dikenali melalui aplikasi sosial.
Hidayatul Akmal Ahmad


IMPIAN seorang gadis bergelar model bertukar mimpi ngeri apabila diugut kenalan menerusi aplikasi WeChat.

Menurut mangsa berusia 23 tahun itu, episod hitam bermula awal bulan ini apabila menerima pelawaan untuk berkenalan di aplikasi WeChat oleh individu yang menggelarkan diri sebagai Ting.

“Selepas menerima pelawaannya menjadi rakan, Ting meminta saya mengambil gambar kaki untuk mendapatkan wang.

“Dia juga berjanji gambar itu hanya akan dimuat naik di laman web negara China sahaja dan bukan untuk pasaran tempatan.

“Saya yang gelap mata mendengar pelawaan itu kemudiannya bersetuju. Ting memberitahu akan membayar RM35 untuk sekeping gambar kaki berserta wajah.

“Ting turut menawarkan bayaran RM80 untuk gambar punggung dan kaki ke bawah selain memberikan saya beberapa sampel gambar untuk rujukan dan arahan untuk digayakan,” katanya ketika membuat aduan di Biro Aduan MCA dekat Wisma MCA Jalan Ampang, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut mangsa, Ting turut menawarkan dirinya mengambil beberapa keping gambar bogel dan video dengan bayaran RM500 sekeping dan RM1,000 untuk setiap video.

“Saya bersetuju dan menghantar 20 keping gambar termasuk gambar bogel dan lima video dihantar melalui WeChat pada 5 Julai lalu.

“Ting juga berjanji membayar RM15,000 keesokan harinya tetapi sehingga hari ini saya tidak mendapat apa-apa bayaran.

“Lebih memburukkan keadaan, Ting meminta saya membuat video tidak senonoh namun saya enggan mengikut permintaannya menyebabkan dia mengugut menyebarkan gambar saya di media sosial termasuk kepada kenalan dan keluarga,” katanya.

Mangsa berkata, Ting kemudian memintanya memasukkan wang RM800 ke dalam akaun bank tempatan, namun hanya memasukkan RM350 kerana tiada wang.

“Saya kemudian menerima ugutan menyebarkan gambar bogel daripada dua individu tidak dikenali di Facebook yang menggelarkan diri mereka sebagai Shan Shan Gua dan Kelvin.

“Tidak cukup dengan itu, saya turut menerima ugutan daripada Shan Shan Gua di Instagram dan Sky Net yang meminta saya memasukkan wang RM800 ke dalam akaun mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, mana-mana wanita yang menjadi mangsa ugutan sedemikian perlu berani tampil membuat laporan polis dan jangan bayar kepada pihak yang melakukan ugutan.

“Untuk kes ini, saya akan menemaninya membuat laporan polis hari ini. Cara terbaik menangani kes ugutan adalah membuat laporan dan serahkan kepada polis untuk jalankan siasatan.

“Untuk wanita di luar sana, berhati-hati dengan tawaran seperti ini. Jangan sebabkan wang dan cita-cita maruah tergadai.

“Sebelum ini, saya terima tiga kes ugutan mendedahkan gambar bogel dan ketiga-tiga mereka sudah diperas ugut beribu-ribu ringgit kerana mereka takut laporkan pada polis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 3:10 PM