PEGAWAI JHEAINS melakukan pemantauan terhadap sebuah premis makanan di Pekan Kuala Pilah milik bukan Islam selepas aduan diterima berkaitan ramai dikunjungi orang Islam. FOTO Ihsan JHEAINS.
PEGAWAI JHEAINS melakukan pemantauan terhadap sebuah premis makanan di Pekan Kuala Pilah milik bukan Islam selepas aduan diterima berkaitan ramai dikunjungi orang Islam. FOTO Ihsan JHEAINS.
Mohd Amin Jalil

Seremban: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) membuat pemantauan dan pemeriksaan ke atas sebuah premis kopitiam milik bukan Islam yang beroperasi di pekan Kuala Pilah, dekat sini, semalam.

Dalam satu kenyataan di sini, pemantauan dan pemeriksaan itu dijalankan selepas pihaknya menerima aduan orang awam mendakwa premis terbabit sering dikunjungi orang Islam walaupun menu dijual tiada sijil halal.

"Hasil pemeriksaan mendapati premis terbabit dimiliki orang bukan Islam dan tiada tukang masak beragama Islam atau bahan ramuan digunakan juga tiada sijil Halal daripada pihak berkuasa berkaitan.

"Premis berkenaan bukan pemegang sijil halal, oleh itu, kami tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan kerana ia di luar bidang kuasa, malah tidak juga boleh menghalang orang Melayu/Islam untuk menjamu selera di premis terbabit," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan maklumat diperoleh sememangnya ramai kalangan orang Melayu yang mengunjungi premis terbabit untuk menjamu selera.

Katanya, terdapat beberapa lagi premis seumpama itu beroperasi di pekan berkenaan diusahakan bukan Islam namun pengunjungnya kalangan orang Melayu.

"Kami hanya dapat memberikan nasihat dan orang Islam digesa mengelakkan dari mengunjungi premis makanan milik bukan Islam yang tiada sijil Halal.

"Seharusnya orang Islam memilih premis mempunyai pengiktirafan sijil halal dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menjamu selera," katanya.

Beliau berkata, pemantauan itu membabitkan tujuh pegawai dari Bahagian Pengurusan Halal JHEAINS dan Jabatan Agama Islam Daerah (JAID) Kuala Pilah diketuai Ustaz Muhammad Amir Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 5:57 PM