NAURAH Zulaikha menjalani rawatan hemodialisis bagi merawat buah pinggangnya. FOTO Ihsan keluarga Naurah Zulaikha
NAURAH Zulaikha menjalani rawatan hemodialisis bagi merawat buah pinggangnya. FOTO Ihsan keluarga Naurah Zulaikha
Mohd Sabran Md Sani


JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Johor menjalankan siasatan terperinci insiden kanak-kanak berusia lima tahun yang terlantar selepas disyaki diberi ubat yang salah oleh pasukan perubatan.

Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Selahuddeen Abd Aziz berkata, siasatan dijalankan bagi mengetahui punca kejadian dan memberikan rawatan terbaik kepada mangsa.

“JKN Johor ingin merujuk laporan yang tular pada 19 Jun (Rabu) lalu mengenai kanak-kanak terlantar selepas disyaki diberi ubat yang salah.

“Siasatan awal mengesahkan pesakit menerima rawatan di Hospital Mersing, Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Sultanah Aminah (HSA),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius sebarang unsur kecuaian dan menjalankan siasatan terperinci berkaitan isu yang dilaporkan dan sekiranya didapati terdapat unsur kecuaian dalam tempoh rawatan, tindakan sewajarnya akan diambil kepada mereka terbabit.

Rabu lalu, tular di media sosial mengenai kanak-kanak itu yang kini berdepan masalah buah pinggang apabila pemeriksaan mendapati ginjalnya rosak dipercayai akibat tersalah makan ubat.

Mangsa, Naurah Zulaikha, 5, dimasukkan ke Hospital Mersing selama tiga hari bermula 26 Mei lalu kerana bisul di kepala.

Selepas tiga hari dirawat, Naurah Zulaikha dihantar ke HSI untuk menjalani pembedahan membuang bisul bagaimanapun, selepas enam hari menjalani rawatan di HSI kanak-kanak itu dihantar ke HSA untuk menjalani rawatan susulan.

Sepanjang 11 hari di dua hospital berkenaan, kanak-kanak itu dalam keadaan sihat dan aktif.

Malangnya, dua hari sebelum dibenarkan pulang pada 13 Jun lalu, dia diserang demam panas yang tinggi dan pada 15 Jun, doktor mengesahkan kanak-kanak itu jangkiti dua kuman, iaitu Gastroenteritis dan e-coli.

Ibu bapa kepada kanak-kanak itu, Nizam Zaki Zainal, 30 dan Siti Masiyah Mohmad, 30, meluahkan kekecewaannya di media sosial dengan perkhidmatan diberikan terhadap anak mereka ketika mendapatkan rawatan di dua hospital di Johor Bahru.

Mereka mendakwa kemungkinan pihak hospital tersalah memberikan ubat kepada Naurah Zulaikha hingga kanak-kanak itu kini terpaksa menjalani rawatan hemodialisis selepas buah pinggangnya rosak.

Keluarga Naurah Zulaikha turut mendakwa, selain kemungkinan tersilap makan ubat, mereka juga mengesyaki ia berpunca akibat terlalu lama memakan antibiotik.

Buat masa ini kanak-kanak itu menjalani rawatan hemodialisis bagi merawat buah pinggangnya yang sudah rosak dan ditempatkan di ‘High Sependency Ward’ (HDW) HSI.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 7:10 PM