Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob (duduk lima kiri) hadir pada perasmian Muktamar Dewan Ulama PAS di Sekolah Rendah Islam Darul Ulum, Tandop. FOTO Sharul Hafiz Zam
Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob (duduk lima kiri) hadir pada perasmian Muktamar Dewan Ulama PAS di Sekolah Rendah Islam Darul Ulum, Tandop. FOTO Sharul Hafiz Zam
Hairulazim Mahmud


Hari ini bermula Muktamar Tahunan Pas bagi sayap-sayap parti itu iaitu Dewan Ulama, Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda di Alor Setar, Kedah sebelum Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-63 yang dijadualkan lusa.

Diadakan di negeri Jelapang Padi itu adalah bagi mengingatkan seluruh ahli parti terbabit supaya bekerja sehabis baik untuk merampas semula negeri berkenaan daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tidak lama lagi.

PAS mahu mengingatkan semua khususnya ahlinya bahawa rakyat Kedah pernah memilih parti berkenaan memerintah negeri itu pada PRU-12.

Pada Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-63 kali ini juga turut berlangsung pemilihan parti tetapi babak suka dan duka pada pemilihan 2015 diyakini tidak akan berulang.

Gejala perosak parti sudah tidak ada dalam PAS.

Ini kerana semua pemimpin dan ahli parti sudah menyatakan taat setia mereka kepada pucuk pimpinan. Hal itu dibuktikan dengan kemenangan tanpa bertanding gandingan Presiden dan Timbalannya iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berikutan sokongan tidak berbelah bahagi 194 kawasan di seluruh negara.

Muktamar tahun ini adalah yang terakhir sebelum PRU-14 yang bakal menyaksikan PAS akan bertanding secara 'solo' di 40 kerusi Parlimen.

Musuh PAS terutamanya dari Pakatan Harapan iaitu DAP, PKR dan PAN dengan terkini PPBM memperlekehkan tanpa henti hasrat parti Islam itu untuk bergerak solo.

Mereka mengutuk dan mempersenda-sendakan perancangan PAS malah mendakwa parti pimpinan Abdul Hadi kini menjadi talian hayat kepada UMNO.

Tetapi hakikatnya mereka sebenarnya amat memerlukan PAS untuk mengukuhkan pakatan pembangkang.

Sebagai parti Melayu Islam kedua terbesar, PAS tetap dengan pendirian untuk tidak lagi mahu bersama pakatan pembangkang yang menentang pendekatan Islam parti berkenaan.

Muktamar kali ini juga menjadi medan dalam menentukan hubungan PAS-PKR. Tahaluf siyasi yang termeterai ketika ini sudah mula disangsikan oleh akar umbi PAS berikutan penentangan demi penentangan oleh pemimpin kanan PKR termasuk memfitnah yang parti itu menerima manfaat daripada RM90 juta yang didakwa diterima oleh bekas pimpinannya daripada wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun ada juga pemimpin dan ahli yang tidak bersetuju dengan cadangan itu demi menjaga kesepaduan Kerajaan Selangor.

Tetapi hakikatnya jika musnah sekalipun tahaluf siyasi terbabit, Kerajaan Selangor akan terbentuk sebagai kerajaan campuran.

Dewan Ulama sebagai sayap parti paling berpengaruh pula dijangka menumpukan kepada isu bai'ah berikutan pelanggaran aku janji itu oleh Ahli Parlimen yang kini bersama PAN.

Usul itu antara lain mahukan supaya PAS mengetatkan lagi bai'ah khususnya ke atas mereka yang bakal bertanding pada PRU-14.

PAS sudah serik dengan tindakan tidak beretika beberapa Ahli Parlimen terbabit yang sebelum ini menang atas tiket parti Islam itu.

Dalam pada itu, peristiwa paling penting pada muktamar kali ini ialah pemilihan parti.

Walaupun semua jawatan tertinggi pusat dan sayap tiada pertandingan berikutan kemenangan tanpa bertanding, ia masih menjadi tumpuan kerana jawatan naib presiden masih ada pertandingan.

Nasrudin Hassan sebagai calon bagi jawatan Naib Presiden PAS menjadikan berlakunya pertandingan empat penjuru bagi merebut jawatan itu.

Selain Nasrudin, tiga lagi penyandang jawatan terbabit adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang Idris Ahmad, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah serta Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Samad turut bertanding akan mempertahankan kerusi Naib Presiden.

Dikatakan Iskandar adalah calon paling selamat kerana beliau adalah satu-satunya calon profesional dalam kalangan Naib Presiden.

Apa pun, tunggu dan lihat keputusan perwakilan pada pemilihan Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2017 @ 3:50 PM