AIDI Sham (tengah) menunjukkan gambar tiga individu yang diminta tampil membantu siasatan. FOTO Mohd Khidir Zakaria
AIDI Sham (tengah) menunjukkan gambar tiga individu yang diminta tampil membantu siasatan. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


KUMPULAN penjenayah dikenali ‘Geng Chow Kit Shan’ yang aktif melakukan samun tumpas apabila dua ahlinya diberkas polis, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan daripada lelaki warga emas berusia 83 tahun yang disamun lima lelaki bertopeng bersenjatakan parang.

“Dalam kejadian 6.20 pagi, suspek mengikat mangsa dan mengurungnya dalam stor di rumah majikannya di Air Kuning, Port Dickson.

“Kejadian hanya disedari majikan yang menemuinya dalam stor berkenaan. Pemeriksaan mendapati barang kemas, televisyen dan pacuan empat roda Ford Ranger hilang dilarikan suspek dengan kerugian dianggarkan RM69,000,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, hari ini.

Beliau berkata, bertindak atas laporan itu polis menjalankan siasatan dan menahan dua lelaki berusia 30 dan 42 tahun di Masjid Tanah, Melaka, 11.30 malam hari sama.

Katanya, hasil penahanan itu polis turut merampas Ford Ranger milik mangsa dan kereta Proton Wira Aeroback digunakan suspek untuk melakukan samun.

Aidi Sham berkata, suspek didapati positif Methamphetamine dan direman tujuh hari hingga 16 Jun ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, polis kini giat mengesan tiga lagi suspek yang disyaki terbabit dalam jenayah itu.

“Mereka adalah T Kokubalan, 36, dari Taman Peruna, Sungai Udang, Sheikh Amir Shafiq Sheikh Hishamuddin, 22, dari Taman Bukit Rambai Utama, Masjid Tanah, dan Muhammad Aizat Shaharul, 23, dari Taman Rambai Jaya, Tanjung Minyak, Melaka.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi IPD Port Dickson di talian 06 6472222 atau balai polis berdekatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 9:28 PM