Mohd Khidir Zakaria


HASRAT lelaki untuk berjoli barangan yang disamun dari sebuah kedai serbaneka di Batu 5, Jalan Pantai, Port Dickson, kelmarin, tidak tertunai apabila dia ditahan hanya sejam selepas melakukan jenayah itu.

Dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, suspek yang berusia 31 tahun masuk ke premis berkenaan dengan bersenjatakan penukul ais sebelum mengambil pelbagai barang runcit yang dianggarkan bernilai RM984, lalu melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, suspek bagaimanapun ditahan polis kira-kira sejam kemudian berhampiran sebuah bank tidak jauh dari lokasi samun, dalam keadaan khayal.

“Mangsa berusia 17 tahun yang juga pekerja di premis berkenaan terkejut apabila seorang lelaki masuk ke kedai dan mengetuk kaunter menggunakan penukul ais, menyebabkan mangsa ketakutan sebelum melarikan diri ke dalam stor.

“Suspek kemudiannya mengambil pelbagai jenama rokok, makanan dan minuman yang bernilai RM984. Kira-kira jam 8 pagi hari yang sama, suspek ditangkap polis yang sedang melakukan rondaan di kawasan berhampiran dan suspek dipercayai dalam keadaan khayal,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, semalam.

Katanya, permohonan reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Port Dickson diperolehi selama tujuh hari bermula semalam sehingga 9 Julai untuk tujuan siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

“Suspek yang tinggal di Kampung Bagan Pinang, Port Dickson, juga didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 1:52 PM