LAPORAN protal Harian Metro mengenai seorang peniaga dikelar ketika disamun.
LAPORAN protal Harian Metro mengenai seorang peniaga dikelar ketika disamun.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


LELAKI tempatan yang mencederakan seorang peniaga dengan pisau dalam kejadian samun di hadapan bank di Port Dickson, kelmarin, ditahan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamad berkata, suspek berusia 33 tahun dicekup di rumah di Taman Indah Emas, Lukut, Port Dickson, kira-kira 2 pagi.

Menurutnya, ketika kejadian 10.40 malam, mangsa dicederakan dengan pisau sebelum kereta Grand Livina miliknya dilarikan penjenayah itu.

Katanya, siasatan mendapati mangsa yang berusia 40 tahun berasal dari India dan berniaga cendol di daerah ini sejak 2000.

“Mangsa seorang diri datang ke bank untuk memasukkan wang sebelum keluar 10.40 malam.

“Sebaik memasuki kenderaan, suspek membuka pintu kereta hingga berlaku pergelutan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, hari ini.

Aidi Sham berkata, pergelutan berlarutan hingga keluar kenderaan dengan mangsa dikelar di pipi kanan, belakang leher dan belakang badan.

“Suspek bertindak melarikan kereta mangsa sebelum panggilan orang awam dibuat kepada polis,” katanya.

Katanya, ketika penahanan dibuat, mangsa menunjukkan kereta itu dengan nombor pendaftaran sama yang disimpan di Kampung Kuala Lukut, sejam kemudian.

“Polis merampas kereta berkenaan, kunci kenderaan, sebilah pisau yang digunakan ketika kejadian, motosikal Suzuki, sepasang selipar dan topi keledar.

“Semakan mendapati, suspek terbabit beberapa kes samun dan lima rekod jenayah mengikut Seksyen 379, Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Suspek direman enam hari bermula esok hingga 2 April ini mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Portal Harian Metro semalam melaporkan seorang lelaki cedera di leher selepas dikelar dalam kejadian samun di bank di Jalan Maharaja di Port Dickson.

Berita berkaitan

Dah samun, kau kelar pula

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 9:25 PM