LONGGOKAN sampah ditemui di sebuah gudang di Karak. FOTO IHSAN ADUN SABAI
LONGGOKAN sampah ditemui di sebuah gudang di Karak. FOTO IHSAN ADUN SABAI
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


JABATAN Alam Sekitar (JAS) Pahang sudah memulakan siasatan di gudang simpanan sisa plastik didakwa beroperasi tanpa lesen di Karak, dekat Bentong, sejak beberapa tahun lalu.

Pengarahnya, Rosli Zul berkata, pihaknya bersama wakil daripada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Majlis Perbandaran Bentong (MPB) sudah meninjau kawasan gudang berkenaan pagi tadi bagi mendapat gambaran sebenar keadaan di kawasan itu.

Katanya, siasatan awal sudah dilakukan pegawainya dan buat masa ini, pihaknya tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung siasatan dan penemuan diperoleh.

“Berhubung status lesen gudang itu, ia tertakluk kepada bidang kuasa MPB dan JPSPN. Jadi biarlah mereka yang umumkan mengenai perkara itu,” katanya ketika dihubungi di Kuantan, hari ini.

Difahamkan, kuasa mengeluarkan lesen bagi kerja kitar semula adalah di bawah bidang kuasa JPSPN Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan manakala bagi lesen premis perniagaan pula membabitkan pihak berkuasa tempatan.

Sebelum ini Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack mendedahkan kewujudan tapak pelupusan itu selepas melakukan tinjauan, baru-baru ini.

Wong bersama ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai, D Kamache dan ADUN Bilut, Lee Chin Chen sudah meninjau gudang berkenaan sebelum melaporkan penemuan sisa plastik dikatakan dari Kanada di gudang berkenaan.

Beliau turut mendakwa gudang itu beroperasi sejak setahun lalu tanpa lesen daripada pihak berkuasa dan perkara itu juga sudah dimaklumkan kepada Menteri Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin untuk tindakan susulan.

Sementara itu, Kamache ketika dihubungi berkata, gudang itu dikatakan terletak dalam kawasan milik syarikat mengendalikan projek Center Spine Road (CSR) menghubungkan Bentong dan Kuala Krai, Kelantan.

“Tapak gudang ini terletak beberapa kilometer dari laluan utama Karak-Kuala Pilah dan dikelilingi ladang kelapa sawit.

“Kebanyakan sisa plastik yang kita temui dalam gudang mempunyai label dan maklumat dipercayai dari Kanada serta dibawa ke sini untuk proses kitar semula, ada antara sisa plastik dibiarkan di kawasan terbuka,” katanya.

Beliau berkata, semakan dibuat pihaknya juga mendapati gudang itu tidak mempunyai lesen sah dan berharap tindakan tegas diambil terhadap pemilik gudang berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 4:55 PM