Nor Farhani Che Ad

SEBANYAK 19 daripada 114 operator kilang yang berdaftar dengan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) membuat permohonan memperbaharui Lesen Import (AP) sisa plastik sejak tempoh tiga bulan pemberian lesen berkenaan dibekukan berakhir Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) masih belum meluluskan mana-mana permohonan yang diterima.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin, berkata pihaknya masih meneliti permohonan berkenaan bagi memastikan setiap syarikat memenuhi syarat baharu yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Sebelum ini, kita ada 114 pemegang AP di seluruh negara daripada itu 54 sahaja yang aktif dan bila kita periksa cuma lapan sahaja yang memenuhi kriteria yang kita syaratkan.

"Sekarang kita belum meluluskan apa-apa lagi permohonan semula untuk AP sisa plastik. Sebelum diluluskan saya nak tengok kalau nampak operasi mereka bertepatan dengan apa yang kita nak, kita akan luluskan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat pemeriksaan di kilang yang dipercayai menjalankan aktiviti memproses sisa plastik secara haram di Kawasan Perusahaan Sungai Petani, malam tadi.

Turut sama membuat pemeriksaan adalah Ketua Pengarah JPSPN, Ismail Mokhtar.

Dalam pada itu, pihaknya juga memberi peluang kepada syarikat yang beroperasi secara haram untuk membuat permohonan AP, bagaimanapun pemilik syarikat perlu memberhentikan operasi mereka sehingga lesen diperolehi.

"Ataupun sementara menunggu lesen, mereka boleh lupuskan sisa plastik ini dengan memberi ruang kepada syarikat yang berlesen untuk diproses secara sah.

"Saya juga tidak mahu merugikan potensi perniagaan plastik import yang bernilai RM30 bilion di Malaysia ketika ini, kalau kita buat dengan baik ia akan menjadi pendapatan buat negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 11:30 AM
ZURAIDA (tiga kiri) membuat pemeriksaan di kilang yang dipercayai menjalankan aktiviti memproses sisa plastik secara haram. FOTO Nor Farhani Che Ad
ZURAIDA (tiga kiri) membuat pemeriksaan di kilang yang dipercayai menjalankan aktiviti memproses sisa plastik secara haram. FOTO Nor Farhani Che Ad