KETUA Pesuruhjaya SPRM yang baharu, Latheefa Koya.- FOTO Mohd Fadli Hamzah
KETUA Pesuruhjaya SPRM yang baharu, Latheefa Koya.- FOTO Mohd Fadli Hamzah
Siti A’isyah Sukaimi


“SESIAPAPUN pun berhak menyoal, mengkritik atau mengeluarkan pendapat masing-masing, ini tidak mengapa.

“Tugas saya jelas iaitu untuk membanteras rasuah di mana-mana sahaja,” kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Latheefa Koya.

Menerusi kenyataan dikeluarkan hari ini, beliau memaklumkan sudah memulakan tugas hari penuh pertamanya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM hari ini.

“Sudah banyak pendapat yang dikeluarkan sejak pelantikan saya diumumkan sehari sebelum Aidilfitri.

“Dengan sokongan dan dokongan rakyat dan pegawai saya di SPRM, kami akan dapat mengubah Malaysia kepada satu masyarakat yang alah kepada rasuah dan bebas daripada rasuah,” katanya.

Pada masa sama, Latheefa berkata, beliau juga akan melihat kepada tindakan jangka panjang termasuk pendidikan bagi mewujudkan satu budaya yang tidak bertoleransi kepada rasuah.

“Adalah hak asas setiap rakyat Malaysia untuk dibenarkan hidup, bekerja dan makmur dalam satu persekitaran yang bebas rasuah.

“Dengan pertolongan Allah, saya berharap untuk berjaya dalam tugas saya ini,” katanya.

Sebelum ini, menerusi kenyataan Pejabat Perdana Menteri, Latheefa yang juga Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty diumumkan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu untuk tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa mulai 1 Jun bagi menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Selaras dengan subseksyen 5(3), Akta SPRM 2009 (Akta 694), Yang di-Pertuan Agong sudah memperkenankan permohonan Mohd Shukri untuk memendekkan tempoh perkhidmatan kontrak beliau lebih awal sebelum kontraknya berakhir pada 17 Mei 2020 sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2019 @ 2:38 PM