Latheefa mahu  menjadikan SPRM sebagai sebuah agensi penguat kuasa ‘whiter than white’. Foto BERNAMA
Latheefa mahu menjadikan SPRM sebagai sebuah agensi penguat kuasa ‘whiter than white’. Foto BERNAMA
BERNAMA

“CABARAN paling besar bagi kami ialah menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai agensi yang bebas daripada rasuah,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya.

Wanita pertama yang dilantik menerajui agensi penguatkuasaan negara dalam membanteras rasuah itu berkata, beliau nekad untuk memastikan pegawai dan anggota SPRM bebas daripada sebarang unsur rasuah.

“That is the biggest challenge (Ini cabaran terbesar), cabaran kami adalah untuk menjadikan SPRM sebagai sebuah agensi penguat kuasa ‘whiter than white’.

“Saya baru menjawat jawatan ini (Ketua Pesuruhjaya SPRM) pada 4 Jun lepas (lebih 40 hari) dan masih dalam mood untuk mendapatkan maklumat.

“Jika saya ada terima laporan atau aduan (mengenai pegawai dan anggota SPRM terlibat rasuah), saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka,” katanya dalam temubual bersama Bernama di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, hari ini.

Latheefa juga akan fokus untuk menjadikan SPRM sebagai agensi penguat kuasa yang pragmatik dari segi pencegahan rasuah.

“Makna pencegahan itu bukan dari segi konvensional iaitu bukan hanya dengan memberitahu melalui penerangan seperti rasuah itu tidak elok dan sebagainya, maka ia perlu ada tindakan proaktif SPRM.

“Kami mempunyai satu unit yang meletakkan setiap pegawai SPRM yang berintegriti di setiap kementerian, agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk memastikan sistem perolehan mereka mengikut peraturan yang sepatutnya,” katanya.

Latheefa berkata, SPRM membuat pemantauan dan akan memastikan tiada kelompangan dalam sistem perolehan kementerian, agensi kerajaan dan syarikat GLC bagi mengelak berlakunya rasuah.

Setakat ini, pihaknya mendapat komitmen dan maklum balas yang baik daripada pihak berkenaan.

“Kami juga ada menerima permintaan daripada syarikat swasta yang meminta SPRM untuk mengadakan kursus bagi menguruskan sistem perolehan dan ia satu respon yang baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 6:25 PM