GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan peningkatan aliran trafik hingga 30 peratus apabila 1.7 juta kenderaan bakal menggunakan lebuh raya PLUS sempena cuti Krismas dan Tahun Baharu ini.

Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) Datuk Azman Ismail berkata, jangkaan berkenaan membabitkan peningkatan trafik ketika waktu puncak berbanding hanya 1.3 juta kenderaan pada hari biasa.

Katanya, pihaknya mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai rujukan pelanggan yang ingin melakukan perjalanan di Lebuhraya Utara-Selatan antara 22 Disember ini hingga 19 Januari depan bagi mengurangkan kesesakan terutama di laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan rehat dan rawat (R&R).

"Berdasarkan TTA yang dikeluarkan, pelanggan lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, utara Perak dan Johor dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum 9 pagi.

"Bagi pelanggan menuju ke destinasi lain yang lebih hampir dengan Lembah Klang atau negeri lain disarankan memasuki lebuh raya selepas 12 tengah hari.

"Selain itu, orang ramai dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, utara Perak, Johor dan negeri lain yang menuju ke Lembah Klang bagi tempoh sama, dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum 9 pagi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Oleh itu katanya, orang ramai yang ingin melakukan perjalanan sempena sambutan perayaan dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal untuk mengelakkan kesesakan di lebuh raya.

"Kami amat menggalakkan orang ramai mengikut jadual perjalanan yang disarankan untuk menikmati pengalaman perjalanan lebih lancar sekali gus mampu mengurangkan kesesakan.

"Memang gembira dapat pulang ke kampung halaman untuk meraikan perayaan Krismas dan Tahun Baharu dengan orang tersayang, namun kita masih lagi berada dalam situasi Covid-19.

"Justeru, kami menasihatkan orang ramai untuk terus mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan sepanjang perjalanan di lebuh raya dengan memakai pelitup muka, mendaftar menerusi Aplikasi MySejahtera, mengamalkan penjarakan fizikal dan kebersihan diri," katanya.

Beliau berkata, setiap kali musim perayaan, PLUS juga mengatur pelbagai strategi untuk menghadapi peningkatan trafik dengan meningkatkan operasi lebuh raya dan memastikan pelanggan menikmati pengalaman perjalanan selamat, lancar dan selesa termasuk di R&R.

"Orang ramai juga disaran menggunakan aplikasi perjalanan Waze atau Google Map untuk mengelakkan kesesakan sebelum memulakan perjalanan.

"Pemandu juga diingatkan supaya memandu dengan selamat dan lebih berhati-hati berikutan musim hujan di seluruh negara pada ketika ini.

"Pastikan kenderaan diselenggara dan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan, sentiasa memakai tali pinggang keledar di tempat duduk depan dan belakang, tidak berhenti di lorong kecemasan sekiranya tidak perlu dan patuhi had laju ketika berada di lebuh raya," katanya.

Menurutnya, pelanggan juga dinasihatkan supaya memastikan baki kad Touch 'n Go atau e-Wallet mereka mencukupi pada setiap masa.

"Terdapat kira-kira 13,000 lokasi tambah nilai disediakan di seluruh negara bagi membolehkan pelanggan lebuh raya menambah nilai kad lebih awal.

"Pelanggan lebuh raya juga disaran supaya membuat pra-pesanan makanan dan minuman menerusi Aplikasi PLUS untuk membawa pulang makanan untuk menikmati pengalaman yang lebih mudah dan selesa ketika berhenti rehat di R&R terpilih," katanya.

Pelanggan lebuh raya PLUS boleh mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya menerusi Aplikasi PLUS, twitter @PLUSTrafik, berinteraksi secara digital menerusi Chatbot PUTRI, papantanda elektronik lebuh raya atau menerusi talian bebas tol PLUSLine di 1800-88-0000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 3:54 PM