Laporan portal Harian Metro mengenai murid perempuan Tahun Lima parah selepas ditikam lelaki mabuk.
Laporan portal Harian Metro mengenai murid perempuan Tahun Lima parah selepas ditikam lelaki mabuk.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Nurul Hidayah Bahaudin


LELAKI yang menikam sehingga parah seorang kanak-kanak di Bandar Sungai Long, Kajang, Sabtu lalu pernah menawarkan air ketum kepada kakak mangsa dan rakannya.

Saksi yang enggan dikenali berkata, pada 10 malam, lelaki itu didapati berlegar-legar di kawasan berkenaan dan terjumpa kakak mangsa bersama rakannya yang berusia 13 hingga 15 tahun.

“Lelaki terbabit kemudian menawarkan wang RM100 kepada kumpulan terbabit dan mengajak seorang daripada mereka melakukan seks.

“Namun, kumpulan remaja itu menolak sebelum lelaki itu berseorangan minum di kawasan sekitar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kira-kira 2 pagi, lelaki terbabit berlegar dari rumah ke rumah dengan niat untuk memecah masuk rumah.

“Saya ketika itu berada di restoran bahagian bawah rumah nampak dia naik ke rumah di atas restoran berkenaan sebelum terdengar jeritan yang amat kuat.

“Pada mulanya kami tidak syak, namun akibat mendengar jeritan itu kami segera naik ke atas dan lelaki terbabit melarikan diri,” katanya.

Katanya, beberapa hari kemudian lelaki itu membotakkan kepalanya bagi mengelakkan dikenali orang ramai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof ketika dihubungi, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Kami ada menerima laporan kes ini dan ia dipercayai berpunca akibat suspek yang mabuk.

“Suspek direman enam hari sehingga 24 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 14 Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Ahmad Dzaffir berkata, lelaki berkenaan masuk ke dalam rumah mangsa melalui pintu kediaman itu.

“Lelaki berusia 40 tahun itu masuk ke dalam bilik kanak-kanak berkenaan sebelum menikamnya menggunakan pisau sebanyak dua kali di bahagian rusuk dan dada.

“Sebaik menikam mangsa, lelaki itu melarikan diri. Kanak-kanak itu kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kajang dan dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 11:47 PM