GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS menahan peniaga di kediamannya di Kajang, Jumaat lalu selepas dipercayai mencabul anak perempuan rakannya sejak tiga tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa berusia 16 tahun, Jumaat lalu.

“Berdasarkan keterangan mangsa, dia dan adik perempuannya berusia lapan tahun berada di bawah jagaan suspek berusia 56 tahun itu bagi tempoh beberapa minggu selepas ayah dan ibu tirinya berada di luar negara atas urusan kerja.

“Mangsa memaklumkan mereka sekeluarga menumpang di rumah suspek yang juga rakan perniagaan bapanya sejak beberapa tahun lalu sebelum lelaki itu sering mengganggu dan mencabul mangsa sejak 2014.

“Dalam kejadian terbaru, 1 petang, Khamis lalu, mangsa memberitahu suspek masuk ke dalam biliknya untuk berbual sebelum bertindak agresif dengan mencekik leher remaja itu selain menyentuh badannya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, suspek juga dikatakan pernah mengajak mangsa melakukan seks namun ditolak remaja terbabit.

“Mangsa turut mendakwa suspek ada pernah mencuba untuk mencabul adik perempuannya.

“Reman suspek selama empat hari yang tamat hari ini akan disambung bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2017 @ 12:22 PM