Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan meluangkan masa memasak juadah bubur lambuk, di Istana Pasir Pelangi, hari ini. FOTO IHSAN FB SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan meluangkan masa memasak juadah bubur lambuk, di Istana Pasir Pelangi, hari ini. FOTO IHSAN FB SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan meluangkan masa memasak juadah bubur lambuk di Istana Pasir Pelangi, di sini, hari ini.

Program memasak bubur lambuk itu turut menampilkan sedikit kelainan apabila baginda menggunakan kayu pengacau khas bagi menyediakan juadah berkenaan.

Pengacau diperbuat daripada kayu giam, turut dilengkapi hiasan 'epoxy resin' khas logo Sultan Ibrahim tahun 2021 dibuat tukang kayu peribadi baginda di Mersing.

Menerusi hantaran dimuat naik dalam akaun Facebook Sultan Ibrahim, baginda bertitah juadah itu akan disampaikan kepada rakyat dan pesakit kanser.

"Bubur lambuk dimasak hari ini akan disampaikan kepada rakyat dan pesakit kanser menerusi Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor," titah baginda kepada Royal Press Office (RPO), hari ini.

Sultan Ibrahim berkenan meluangkan masa hampir sejam memasak bubur lambuk bersama kakitangan istana.

Sebanyak 200 paket bubur lambuk dari Istana Johor akan disampaikan kepada pesakit kanser di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI).

Manakala, 1,100 paket akan disampaikan kepada rakyat di daerah Kluang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 2:23 PM