KETUM yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan PDRM
KETUM yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


CUBAAN lelaki menjual air ketum ketika umat Islam lain sibuk menjual juadah berbuka puasa gagal apabila dia ditahan bersama 99 paket plastik lut sinar berisi air ketum di tepi jalan Taman Serai Wangi, Padang Serai, dekat Kulim, semalam.

Suspek berusia 32 tahun itu ditahan jam 5 petang oleh anggota polis yang sedang membuat rondaan cegah jenayah di kawasan terbabit.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Safuan Md Noor berkata, pemeriksaan pada badan tidak menemui apa-apa barangan salah.

Menurutnya, polis kemudian membuat pemeriksaan di belakang tempat duduk di tepi jalan terbabit sebelum menemui dua tong polisterin mengandungi air rebusan ketum.

“Harga sepaket air ketum di pasaran sekitar RM6 hingga RM8 dan kita kemudian merampas air ketum dan suspek dibawa ke Balai Polis Padang Serai untuk tindakan selanjutnya.

“Semakan juga mendapati suspek memiliki dua kes rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan tiga kes rekod berkaitan dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

“Saya meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan seperti ini salurkan maklumat kepada polis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 2:46 PM