Mohd Najib bersama anaknya Nur Qaseh yang terlantar menderita masalah paru-paru akibat jangkitan adenovirus di rumahnya Taman Seri Duyong 3, Melaka. Foto Mohd Hilmie Hussin
Mohd Najib bersama anaknya Nur Qaseh yang terlantar menderita masalah paru-paru akibat jangkitan adenovirus di rumahnya Taman Seri Duyong 3, Melaka. Foto Mohd Hilmie Hussin
Mohd Hilmie Hussin


BUKAN sengaja mahu meminta simpati tetapi kos rawatan dan penjagaan Nur Qaseh Umairah Mohd Najib, 5, begitu tinggi dan di luar kemampuan ibu bapanya.

Lebih memeritkan, Nur Qaseh yang menderita masalah paru-paru akibat jangkitan adenovirus sejak berusia enam bulan kini tidak lagi mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bapa kanak-kanak terbabit, Mohd Najib Bebet, 37, memuat naik kenyataan di Facebook (FB) semalam dengan mendakwa anaknya itu dinafikan hak mendapat bantuan JKM walaupun dikategorikan sebagai pesakit terlantar.

Mohd Najib yang ditemui di rumahnya di Taman Seri Duyong 3, Melaka bagi mendapatkan penjelasan sebenar mengenai situasi terbabit berkata, dia berasa kecewa selepas dimaklumkan menerusi panggilan telefon yang anaknya tidak layak lagi menerima bantuan RM350 daripada JKM seperti sebelumnya kerana pendapatan isterinya sebagai seorang guru melebihi RM3,000.

“Sangat terkejut dan agak menghairankan kerana anak saya yang terlantar dan bergantung hidup dengan tangki oksigen tiba-tiba tidak layak menerima bantuan JKM.

“Bantuan ini bukan untuk diri saya tetapi kepada anak saya yang sakit,” katanya yang ditemui di kediamannya, hari ini.

Mohd Najib berkata, kini dia hanya mengambil tempahan untuk jualan sate kerana komitmen serta tumpuan untuk menjaga anaknya yang perlu diberi perhatian setiap masa.

Menurutnya, isterinya, Nor Aini Raoh, 37, sebelum ini pernah menerima bantuan susu dan tong oksigen daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), tetapi sudah lama dihentikan.

“Saya sendiri tiada pendapatan tetap dan bergantung kepada pendapatan isteri. Dulu saya mampu memperoleh pendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan tetapi sekarang tidak lagi.

“Sedangkan kos penggunaan elektrik tinggi membabitkan penghawa dingin, mesin oksigen dan mesin pernafasan yang mencecah hampir RM500 sebulan.

“Saya juga perlukan perbelanjaan untuk beli lampin pakai buang serta keperluan susu khas untuk anak saya itu,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 15 tin susu seberat 800 gram berharga RM85 setiap satu menjadi satu-satunya sumber makanan buat Nur Qaseh.

Sementara itu, JKM yang diketuai timbalan pengarahnya, Ismail Baharom mengunjungi kediaman Mohd Najib, hari ini, bagi memberi penjelasan mengenai pembatalan elaun pesakit terlantar terhadap anaknya.

Beliau yang mewakili Pengarah JKM negeri Burhanuddin Bachik berkata, Nur Qaseh memang menerima bantuan pesakit terlantar sejak 2016 berjumlah RM300 sebulan dan elaun itu sudah dinaikkan ke RM350 sejak 2017.

“Benar, bantuan ditamatkan bermula Jun ini berikutan semakan mendapati pendapatan keluarga ini melepasi garis kemiskinan dengan penerima sepatutnya mempunyai pendapatan isi rumah tidak lebih RM3,000.

“Kita akan lihat aspek lain untuk membantu termasuk bersama agensi lain dengan kerjasama Jawatankuasa dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN). Kita juga sedia membantu mendaftarkan Nur Qaseh Umairah ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) bagi melayakkan kanak-kanak ini menerima bantuan RM150 sebulan,” katanya yang turut menyampaikan bantuan Tabung Bantuan Segera berjumlah RM300 kepada Mohd Najib.

Sementara itu, Setiausaha JAPERUN Duyong, Muhammad Farhan Mahmud berkata, pihaknya akan berbincang dengan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Datuk Abu Bakar Sahari bagi mendapatkan semula bantuan JPA, selain akan berbincang dengan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) jika ada inisiatif menurunkan kadar elektrik atau rebat kepada keluarga berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 6:23 PM