GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Syah Rul Aswari Abdullah dan Sarah Zulkifli


MAHKAMAH Koroner Shah Alam, hari ini membenarkan permohonan pegawai pengendali inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim untuk membawa van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke pekarangan mahkamah, Rabu depan.

Koroner Rofiah Mohamad membenarkan permohonan Pegawai Pengendali, Faten Hadni Khairuddin untuk membawa kenderaan itu sebagai rujukan prosiding inkues.

“Pihak berkepentingan perlu memastikan van itu ada seharian di mahkamah pada tarikh ditetapkan bertujuan memastikan penggunaan van EMRS ini tidak mengganggu, jika diperlukan di balai bomba,” katanya dalam prosiding inkues menentukan kematian Muhammad Adib Mohd Kassim yang memasuki hari ke -32, hari ini.

Terdahulu, Faten Hadni mencadangkan kenderaan itu dibawa ke mahkamah untuk dirujuk kepada Koroner.

Dalam prosiding hari ini, Mahkamah Koroner memanggil semula Pakar Bedah Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi yang juga saksi ke-24 bagi memberi keterangan.

Pada masa sama, Rofiah turut menetapkan prosiding inkues itu bersambung semula selama empat hari, bermula Selasa hadapan dengan memanggil saksi sama.

Dalam prosiding lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan pasukan pengendali inkues untuk memanggil semula Dr Ahmad Hafizam bagi memberi keterangan.

Peguam yang mewakili Muhammad Adib kemudian menghantar rayuan di Mahkamah Rayuan pada 3 Mei lalu bagi menyemak semula keputusan itu.

Sebelum itu, Rofiah pada 22 April lalu menolak permohonan pegawai pengendali untuk memanggil semula saksi pakar itu.

Permohonan pegawai pengendali untuk memanggil semula saksi ke-24 dibuat selepas saksi ke-29, Professor Dr Shahrom Abd Wahid yang juga bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Mukhriz memberikan keterangan dalam inkues itu.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, mengesahkan menerima laporan polis di Balai Polis Subang Jaya daripada dua doktor pakar dari Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang juga saksi prosiding inkues kematian Muhammad Adib kerana dipercayai diugut.

Susulan itu, seorang lagi saksi pakar turut membuat laporan polis berhubung satu laporan akhbar mengenai dirinya yang didakwa mengugut saksi lain dalam prosiding itu.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 5:03 PM