MUHAMMAD Azfar Yamin  (kiri) bersama peserta Ekspedisi Gunung Sarut,  Sungai Tong, Setiu.
MUHAMMAD Azfar Yamin (kiri) bersama peserta Ekspedisi Gunung Sarut, Sungai Tong, Setiu.
Nurul Fatihah Sulaini


PERMAISURI: Jika pendaki normal berkomunikasi seperti biasa, berlainan bagi pendaki cacat pendengaran yang bergantung kepada mercun bola untuk isyarat tertentu.

Jurubahasa Persatuan Orang Pekak Terengganu (POPT) Muhammad Azfar Yamin Mohd Kamal, 31, berkata, dia membawa bahan api itu setiap kali mendaki bersama mereka termasuk pada Ekspedisi Gunung Sarut, Sungai Tong, baru-baru ini.

Katanya, ekspedisi itu disertai 25 peserta termasuk 16 orang kurang upaya (OKU) pekak dan sembilan peserta normal selain tiga jurubahasa.

“Bunyi mercun sebagai isyarat untuk mereka (OKU pekak) terutama apabila mereka jauh daripada kumpulan.

“Memang cabaran besar membawa golongan istimewa ini mendaki tetapi mercun bola boleh menjadi isyarat yang baik untuk komunikasi jika ada kecemasan,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, lampu suluh juga dimanfaatkan untuk perhubungan isyarat selain fungsi asalnya menyuluh kegelapan.

“Dalam ekspedisi ini, kita himpunkan peserta pelbagai bangsa dan dari pelbagai negeri antaranya Kuala Lumpur, Kelantan, Terengganu dan Sabah,” katanya yang memberitahu dua jurubahasa isyarat diperuntukkan setiap ekspedisi.

Katanya, seorang jurubahasa diletakkan di barisan hadapan dan seorang berada di hujung barisan belakang yang bertindak sebagai ‘telinga’ kepada peserta pekak untuk sebarang bahaya.

“Aspek keselamatan amat dititik beratkan sepanjang ekspedisi dan setakat ini tidak berlaku lagi kejadian tidak diingini,” katanya.

Sementara itu, peserta pekak, Abdul Roni Awang, 65, berasal dari Kuala Terengganu berkata, dia aktif menyertai ekspedisi mendaki sejak menyertai POPT pada 2000.

“Pencapaian terbesar pernah menyertai lawatan integrasi dan kembara Gunung Kinabalu, Sabah pada 2007, selain pernah mendaki Gunung Berembun, Chemerong, Langsir di Dungun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 7:30 AM