GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


TINDAKAN pantas anggota Unit Kereta Peronda Polis (MPV) berjaya memberkas penjenayah yang menyamun lelaki warga Bangladesh berhampiran perhentian bas di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, ketika kejadian kira-kira 9 pagi, mangsa sedang melintas jalan dari perhentian bas itu menuju ke tempat kerjanya di stesen minyak berhampiran.

“Lelaki Bangladesh berkenaan dihampiri seorang lelaki tempatan menaiki Proton Saga BLM. Suspek kemudian melarikan telefon bimbit dan dompet mengandungi wang tnuai kira-kira RM100 milik mangsa.

“Ketika kejadian, seorang anggota MPV sedang mengisi minyak di stesen minyak berhampiran lokasi melihat insiden itu dan mengejar kereta dinaiki suspek,” katanya dalam kenyataan di Sungai Buloh, semalam.

Shafa’aton berkata, ketika dikejar MPV, kereta dinaiki suspek masuk ke jalan sehala menyebabkan mereka terpaksa memberhentikan kenderaan apabila kereta itu terhalang.

“Seorang daripada suspek keluar dari kereta berkenaan lalu melarikan diri. Pemandu kereta Proton Saga BLM itu pula melanggar kenderaan MPV berkenaan untuk melarikan diri.

“Bagaimanapun, kereta suspek terbabas dan melanggar pokok di bahu jalan. Anggota MPV itu terseliuh pada lutut ketika mengejar suspek berusia 22 tahun itu yang cuba melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, kejadian itu mengakibatkan MPV berkenaan rosak di bahagian hadapan akibat dilanggar kereta suspek.

“Semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/353 Kanun Keseksaan.

“Usaha memburu seorang lagi suspek yang masih bebas sedang giat dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 9:12 AM