Allaudeen (dua dari kiri) menunjukkan dadah jenis heroin yang dirampas ketika sidang media di IPK Kuala Terengganu. Foto Imran Makhzan
Allaudeen (dua dari kiri) menunjukkan dadah jenis heroin yang dirampas ketika sidang media di IPK Kuala Terengganu. Foto Imran Makhzan
Zaid Salim


SEBANYAK 31 botol dadah jenis heroin bernilai RM12,400 dirampas selepas seorang lelaki yang dipercayai aktif dalam menjalankan kegiatan pengedaran dadah di Marang dan Kuala Terengganu ditahan.

Lelaki berusia 45 tahun terbabit ditahan pada 1 pagi, Sabtu lalu ketika berada dalam sebuah kereta dipercayai sedang menunggu pelanggan di tepi jalan di Kampung Padang Midin.

Turut ditahan, seorang remaja lelaki warga Thailand berusia 14 tahun yang juga adik ipar kepadanya apabila turut berada dalam kereta berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Terengganu Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya terpaksa memecahkan cermin pintu kereta berkenaan sebelum menemui satu plastik warna oren mengandungi bungkusan akhbar yang diletakkan di atas brek tangan kenderaan terbabit.

Pemeriksaan dalam bungkusan itu menemui 17 botol plastik bertudung kuning mengandungi serbuk dipercayai heroin dianggarkan bernilai RM6,800.

“Kita percaya, dadah berkenaan yang dibungkus dalam dua bungkusan surat khabar itu untuk diserahkan kepada pengedar di kawasan terbabit,” katanya ketika sidang media, hari ini.

Menurutnya, soal siasat terhadap lelaki terbabit kemudiannya membawa polis ke sebuah rumah di Kampung Balai Maras, Kuala Nerus.

Katanya, suspek kemudiannya menunjukkan sebuah beg hitam berzip yang disembunyikan dalam bakul plastik merah dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.

“Pemeriksaan dalam beg itu juga menemui satu plastik mengandungi dua bungkusan surat khabar yang setiap satu mengandungi dadah jenis heroin.

“Bungkusan pertama terdapat 10 botol plastik bertudung kuning berisi serbuk dipercayai heroin dan satu lagi bungkusan mengandungi tiga botol dipercayai serbuk yang sama dengan kesemuanya dianggarkan seberat 80.58 gram bernilai RM5,200,” katanya.

Allaudeen berkata, pemeriksaan turut menemui satu botol plastik bertudung kuning berisi heroin dianggarkan bernilai RM400 yang diletakkan dalam poket baju yang disangkut pada dinding dalam bilik berkenaan.

Menurutnya, siasatan terhadap lelaki terbabit dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dengan 15 kali sebatan.

Katanya, remaja berusia 14 tahun terbabit turut ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan.

“Siasatan juga mendapati suspek memiliki beberapa rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 10:52 PM