KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Superintendan Roslan Tahir (kanan) bersama pegawainya semasa sidang media rampasan dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK). FOTO Imran Makhzan
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Superintendan Roslan Tahir (kanan) bersama pegawainya semasa sidang media rampasan dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK). FOTO Imran Makhzan
Zarina Abdullah


PENGANGGUR berdepan hukuman mati selepas serbuan sepasukan anggota polis menemui 40 botol kecil serbuk putih dipercayai heroin dianggarkan bernilai RM20,000 di rumah keluarganya di Kampung Seberang Bukit Tumbuh, Kuala Nerus.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu Superintendan Roslan Tahir berkata, bertindak atas maklumat, sekumpulan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Terengganu menyerbu rumah keluarga suspek pada 3 pagi Isnin lalu.

Menurutnya, suspek yang memberi kerjasama baik membawa anggota polis ke belakang rumahnya.

Katanya, anggota polis kemudian menggunakan cangkul untuk mengorek tanah di belakang rumah sebelum menemui satu bungkusan putih berisi bekas plastik bertudung merah mengandungi empat bungkusan berisi surat kabar.

“Apabila diperiksa bungkusan itu mengandungi 40 botol kecil bertudung kuning (vial) yang di dalamnya mengandungi serbuk putih disyaki heroin seberat 174 gram.

“Jumlah dadah itu apabila dijadikan dalam bentuk tiub straw dapat dijual pada harga pasaran antara RM10 hingga RM12 setiap satu,” katanya dalam sidang media di IPK Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, suspek berusia 20 tahun direman tujuh hari hingga 21 Mei ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah.

“Kita percaya suspek menjadikan kawasan belakang rumah keluarganya sebagai ‘stor’ penyimpanan dadah, dan hanya dikeluarkan untuk tujuan penjualan mengikut permintaan.

“Siasatan awal mendapati suspek negatif dadah, namuh sudah bergiat aktif dalam kegiatan pengedaran dadah sejak 10 bulan lalu di sekitar Bukit Tunggal dan Gong Badak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 5:11 PM