Siti A’isyah Sukaimi


KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan berbincang dengan semua kerajaan negeri dalam membaik pulih atau membina semula flat dibangunkan lebih 30 tahun.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, menerusi polisi perumahan negara turut dinyatakan mengenai cadangan pembangunan semula flat berusia lebih 30 tahun di semua negeri.

“Justeru, kita akan berbincang dengan kerajaan negeri dalam membaik pulih atau membina semula rumah flat yang lama ini,” katanya kepada pemberita selepas menutup Konvensyen Pemerkasaan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Baru di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai di Ampang yang mengalami keretakan di dinding bangunan berkenaan selepas hujan lebat.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, Flat Taman Keramat Permai adalah di bawah tanggungjawab kerajaan negeri Selangor, namun pihaknya akan memantau masalah berkenaan.

“Flat ini adalah di bawah kerajaan negeri dan ia adalah projek Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). KPKT akan memantau dan melihat bagaimana kita boleh beri cadangan untuk membantu mereka.

KESAN retak pada dinding bangunan Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai, Ampang yang menyebabkan penduduk terpaksa dipindahkan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
KESAN retak pada dinding bangunan Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai, Ampang yang menyebabkan penduduk terpaksa dipindahkan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.

“Saya akan pergi ke flat itu esok untuk melihat situasi sebenar masalah keretakan itu. Jika ada keperluan, kita akan gerakkan apa-apa bantuan kepada mereka,” katanya.

Jumaat lalu, seramai 222 penghuni bangunan empat tingkat Blok F di Flat Taman Keramat Permai di Ampang diarahkan berpindah susulan keretakan di dinding bangunan berkenaan selepas hujan lebat.

Berikutan itu, semua penghuni terbabit ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Keramat sebagai langkah keselamatan.

Berita berkaitan

'Tak tahu ke mana arah ingin dituju'

'Kumpul data, nilai tahap keretakan'

'Retak sampai nampak rumah bawah'

'Mula pemeriksaan lanjut'

'Hidup dalam ketakutan'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 7:03 PM