Mohamed Azmin bersama Zuraida melihat kesan retak di tingkat 4 Blok F Flat Taman Keramat Permai. Foto Mohd Yusni Ariffin
Mohamed Azmin bersama Zuraida melihat kesan retak di tingkat 4 Blok F Flat Taman Keramat Permai. Foto Mohd Yusni Ariffin
Hidayatul Akmal Ahmad


LAPORAN lengkap siasatan Blok F Flat Taman Keramat Permai di Ampang dijangka dimuktamadkan pada Khamis ini.

Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, semua rumusan hasil siasatan terbabit akan diteliti sebelum keputusan sama ada bangunan berkenaan selamat diduduki atau sebaliknya dibuat pihak berkaitan.

Menurutnya, seramai 37 keluarga yang mendiami flat terbabit dijangka boleh kembali menduduki kediaman masing-masing selewatnya-lewatnya sebelum 1 Ramadan nanti.

“Saya mahu keselamatan penduduk diberikan keutamaan walaupun Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) mendapati tiada pergerakan tanah atau bangunan sepanjang tiga hari mereka melakukan pemantauan dan kajian.

“Kita jangkakan sebelum Ramadan penduduk boleh kembali ke kediaman masing-masing, iaitu sama ada Sabtu atau Ahad ini (4 dan 5 Mei) jika pasukan teknikal mengesahkan bangunan berkenaan selamat diduduki.

“Jika siasatan mendapati sebaliknya (tidak selamat diduduki) susulan pandangan IKRAM dan perunding, proses pembaikan dengan kosnya ditanggung Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan dilaksanakan.

“Sudah tentu, sepanjang proses pembaikan, kita tidak mahu penduduk berada dalam unit terbabit untuk sementara waktu,” katanya ketika sidang media selepas melakukan tinjauan ke kawasan itu, hari ini.

Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin; Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Mohamed Talha dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang Saari Sungib.

Pada Jumaat lalu, seramai 222 penghuni bangunan empat tingat itu diarahkan berpindah susulan berlaku keretakan pada dinding kediaman berkenaan selepas hujan lebat.

PKNS sebelum ini dilaporkan melantik IKRAM untuk memasang pengesan dan alat kajian bagi memastikan sama ada mendapan serta pergerakan tanah benar-benar aktif atau sebaliknya.

Menerusi peruntukan Ahli Parlimen, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, sebanyak RM500 akan disalurkan kepada setiap keluarga yang terjejas, selain beberapa kemudahan bakal ditambah bagi keselesaan penduduk di pusat pemindahan sementara.

“Kita akan lengkapkan mereka dengan kemudahan pendingin hawa kerana saya mendapat sedikit rungutan berhubung keselesaan mereka, khususnya yang mempunyai anak kecil.

“Selain itu, sajian makanan berkhasiat dan secukupnya akan diberikan, kita ada menempatkan petugas Jabatan Kesihatan khususnya bagi mengendalikan pemeriksaan berkaitan terhadap warga emas,” katanya.

Berita berkaitan

Retak sampai nampak rumah bawah

Mula pemeriksaan lanjut

Tak tahu ke mana arah ingin dituju

KPKT bincang nasib flat lebih 30 tahun [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 5:31 PM