Lelaki berusia 50-an ditemui rentung dalam kebakaran di Kampung Triang, Bera malam tadi. FOTO Ihsan Bomba
Lelaki berusia 50-an ditemui rentung dalam kebakaran di Kampung Triang, Bera malam tadi. FOTO Ihsan Bomba
Sharinnahar Latib


LELAKI ditemui rentung dalam kejadian kebakaran membabitkan enam rumah di Kampung Baru Triang, di Bera, malam tadi.

Mayat Low Ching Hock yang berusia dalam lingkungan 50-an, ditemui dalam satu daripada rumah yang musnah sepenuhnya dan mangsa dipercayai dihempap almari ketika kejadian itu.

Dalam kejadian itu, dua rumah musnah sepenuhnya manakala empat lagi sempat diselamatkan oleh anggota bomba yang terbabit dalam operasi memadam kebakaran.

Ketika kejadian, orang ramai turut dikejutkan dengan letupan mercun disimpan di sebelah rumah mangsa rentung, namun tidak diketahui sama ada ia menjadi punca kebakaran itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Hisham Mohammad berkata, kejadian itu disedari oleh anggota bomba yang bertugas pada 10.47 malam dan sebuah jentera pemadam (FRT) dengan lima anggota tiba dua minit kemudiannya.

Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian didapati api marak membakar sepenuhnya rumah pertama dan orang awam memaklumkan ada dua mangsa terperangkap dalam satu daripada rumah terbakar.

“Api dapat dikawal sepenuhnya pada 23.41 malam berikutan kekangan tekanan air rendah dan bekalan elektrik tidak dapat diputuskan.

“Siasatan lanjut, satu mangsa ditemui rentung dalam bilik dan dihempap almari, mangsa kedua didapati berjaya menyelamatkan diri.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya, hari ini.

Nor Hisham berkata, sembilan penghuni rumah berjaya diselamatkan dalam operasi membabitkan 19 anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Triang, 10 anggota Pasukan Bomba Sukarela Kemayan, sembilan anggota BBP Bukit Angin,Temerloh dan lapan anggota polis serta tiga jentera pemadaman.

“Punca kejadian masih dalam siasatan dan dua pegawai penyiasat kebakaran dari Ibu Pejabat JBPM Pahang dan seorang dari Zon dua diarahkan melakukan penyiasatan.

“Anggaran awal kerugian adalah RM200,000,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 10:27 AM