ASYRAF melawat Nor Atirah di Hospital Besut. FOTO Mohammad Ishak
ASYRAF melawat Nor Atirah di Hospital Besut. FOTO Mohammad Ishak
Mohammad Ishak


TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan kesemua mangsa kejadian bot terbalik berhampiran Pulau Rhu, dekat Kuala Besut, semalam, mengikuti program luar kampus yang dianjurkan oleh UMNO Kelantan.

Menurutnya, mereka itu adalah antara 60 penuntut universiti dan sebahagian besar daripadanya adalah pemimpin persatuan pelajar yang menghadiri Program Himpunan Mahasiswa Kelantan (Himsak) di Pulau Perhentian.

"Sebelum ke pulau itu, peserta berkenaan sudah mengikuti program yang diadakan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK)," katanya ketika ditemui selepas melawat empat mangsa yang masih dirawat di Hospital Besut, hari ini.

Dr Asyraf berkata, beliau diminta oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed untuk melawat mangsa di hospital berkenaan.

Dalam kejadian semalam, Nurnasibah Husna Ibrahim, 21, dari Kampung Alor Pasir, Pasir Puteh yang juga penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) meninggal dunia dipercayai kerana lemas selepas terperangkap di bawah bot terbalik itu.

Empat lagi mangsa, Nur Shafira Jali, 21, penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Ummi Nor Alasha Noordin, 23, Universiti Malaysia Terengganu (UMT); Norhanani Shazril, 22, (UMT) dan Nor Atirah Che Hassan, 20, dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sedang dirawat di Hospital Besut.

Ketika kejadian 15 peserta program dan seorang jurumudi bot dalam perjalanan ke Kuala Besut selepas bertolak dari Pulau Perhentian kira-kira 11.30 pagi.

Bagaimanapun, bot mereka didakwa mengalami masalah teknikal sebelum ia berpusing dan terbalik hingga menyebabkan mereka tercampak ke laut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2017 @ 1:53 PM