HIEZRY  (kanan), bersama abang dan bapanya, Hizran (kiri) dan Azman Embayan ditemui selamat  selepas tersesat lima jam di hutan Kampung Serusup, Tuaran. FOTO Recqueal Raimi
HIEZRY (kanan), bersama abang dan bapanya, Hizran (kiri) dan Azman Embayan ditemui selamat selepas tersesat lima jam di hutan Kampung Serusup, Tuaran. FOTO Recqueal Raimi
Recqueal Raimi


“AYAH letih kerana kami langsung tiada bekalan makanan,” kata Hiezry Aron Embayan, 33, antara mangsa yang sesat ketika mencari batu tanda sempadan tanah di hutan Kampung Serusup, kelmarin.

Hiezry bersama abangnya, Hizran, 38, dan bapa mereka, Azman Embayan, 70, dilaporkan sesat jam 8 malam kelmarin sebelum ditemui penduduk kampung lima jam kemudian.

Menurut Hiezry, mereka masuk ke kawasan hutan itu jam 4.30 petang untuk mencari dan membersihkan tanah milik ayahnya.

“Selepas menemui batu tanda sempadan pertama, kami mencari batu tanda kedua. Namun tidak menyangka jalan yang kami lalui hilang walaupun semak-samun yang dijadikan laluan dicantas.

“Kami tersesat sehingga hari gelap dan berusaha berpatah balik namun gagal. Ketika itu, kami cuma ada pemetik api, lampu suluh dan parang untuk bergerak mencari semula jalan pulang,” katanya, semalam.

Dia juga cuba menghubungi isterinya namun gagal dan sempat menghantar pesanan serta lokasi mereka bertiga melalui aplikasi WhatsApp sebelum telefon bimbitnya kehabisan bateri.

“Mujur isteri saya membaca pesanan itu dan segera memaklumkan kepada penduduk selain menghubungi polis serta bomba untuk mendapatkan bantuan.

“Selepas lima jam tersesat, kami ditemui penduduk empat kilometer dari laluan jalan raya kampung,” katanya.

Hiezry berkata, mereka bertiga selamat dan hanya luka ringan pada kaki akibat terkena tumbuhan berduri manakala ayahnya mengalami kekejangan otot.

“Tetapi kami bersyukur kerana dapat keluar dari kawasan hutan itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan jam 8.10 malam dan sembilan anggota bersama sebuah jentera serta kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejar ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba mencari mangsa di lokasi sekitar dua kilometer dan mangsa ditemui penduduk kampung. Mangsa turut menerima rawatan awal daripada anggota EMRS.

“Semua mangsa selamat dan operasi ditamatkan pada jam 1.15 pagi tadi (semalam)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 8:20 AM