Recqueal Raimi

ENAM pencari lokan termasuk seorang wanita sesat lebih 15 jam di hutan bakau Bukit Payung di Tuaran, ditemukan selamat hari ini.

Semua mangsa berusia 16 tahun sehingga 60 tahun itu dilaporkan hilang 8 malam tadi apabila mereka tidak kembali ke lokasi berkumpul.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.40 malam dan seramai 20 anggota bergegas ke lokasi berserta dua jentera dan unit anjing pengesan K9.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

“Bagaimanapun, operasi terpaksa ditangguhkan jam 10.54 malam dan bersambung pada jam 8 pagi tadi sebelum menemukan semua mangsa,” katanya dihubungi hari ini.

SEBAHAGIAN mangsa dipercayai tersesat ketika mencari lokan ditemui dalam keadaan selamat di hutan bakau di Bukit Payung, Tuaran. FOTO Ihsan bomba
SEBAHAGIAN mangsa dipercayai tersesat ketika mencari lokan ditemui dalam keadaan selamat di hutan bakau di Bukit Payung, Tuaran. FOTO Ihsan bomba

Menurutnya tiga mangsa ditemukan orang awam pada jam 9.23 pagi apabila berjaya keluar dari kawasan hutan bakau manakala tiga lagi mangsa lain ditemukan enam minit kemudian oleh pasukan bomba kira-kira 200 meter dari jarak tiga mangsa pertama ditemukan.

“Setakat ini, semua mangsa dilaporkan dalam keadaan selamat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.”

Abdul Qawie berkata, operasi ditamatkan jam 12 tengah hari tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 5:03 PM