Dua pendaki yang  ditemui selamat oleh anggota bomba EMRS selepas mereka tidak menemui jalan turun ketika mendaki di Bukit Beruang.
Dua pendaki yang ditemui selamat oleh anggota bomba EMRS selepas mereka tidak menemui jalan turun ketika mendaki di Bukit Beruang.
Nur Saliawati Salberi

Melaka: Tindakan membawa telefon pintar ketika mendaki Bukit Beruang di sini, berjaya menyelamatkan dua pendaki yang sesat di kawasan itu petang kelmarin.

Mangsa seorang lelaki bersama kenalan wanitanya masing-masing berusia 22 tahun naik ke bukit itu untuk beriadah pada jam 6 petang sebelum menghubungi bomba dan penyelamat bagi mendapatkan bantuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Hamdan Sudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.43 malam daripada kedua-dua mangsa memaklumkan mereka tersesat.

Sejurus selepas itu, sepasukan 20 anggota, termasuk pegawai bersama dua jentera dan Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Difahamkan kedua-dua mereka mendaki ke bukit itu pada lewat petang dan apabila mahu mencari jalan turun, mereka gagal berbuat demikian kerana hari mulai gelap.

“Operasi mencari dan menyelamat mengalami sedikit kesukaran kerana mangsa tidak dapat memberitahu lokasi sebenar mereka berada,” katanya.

Mohamad Hamdan berkata, kedua-dua mangsa ditemui jam 9.25 malam, sebelum mereka dibawa turun.

“Ketika ditemui, kedua-dua mereka berada dalam keadaan kepenatan, bagaimanapun tidak cedera,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang awam tidak melakukan pendakian pada lewat petang, selain membawa bersama pendaki yang sudah biasa dengan selok-belok laluan di bukit berkenaan bagi mengelak tersesat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 10:59 AM