MOHD Suffian saksi ke-33 RCI.
MOHD Suffian saksi ke-33 RCI.
Hairulazim Mahmud


TIGA rakyat Malaysia termasuk seorang wanita adalah tali barut sindiket penyeludupan migran di Wang Kelian, Perlis, menurut Inspektor Mohd Suffian Abdul Rashid.

Saksi ke-33 Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem dan kubur di Wang Kelian itu berkata, siasatan polis mendapati wujud transaksi dalam akaun mereka dengan waris pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan di kem transit di sempadan Malaysia-Thailand sebelum Pati terbabit dibebaskan untuk memasuki Malaysia.

Bagaimanapun, beliau berkata, hanya dua daripada mereka dikaitkan dengan aktiviti pengubahan wang haram.

“Kedua-dua lelaki itu dikenali sebagai Ku Hamid Ku Musa dan Ariffin Abdullah Ali. Pada Oktober 2015, saya diberikan senarai sembilan suspek kes berkenaan dengan enam daripadanya adalah warga Thailand dipercayai pengawal kem transit berkenaan manakala tiga lagi adalah rakyat Malaysia.

“Hasil siasatan mendapati terdapat transaksi membabitkan akaun bank milik Ku Hamid dan Ariffin, tetapi kita tidak dapat mengesan sebarang petunjuk mengenai suspek wanita iaitu Zubaidah Abdul Razak,” katanya di hadapan enam panel pada hari ke-11 prosiding berkenaan, semalam.

Mohd Suffian berkata, hasil siasatan mendapati seorang warga Myanmar iaitu Abdul Hamid mendepositkan wang RM4,000 ke dalam akaun Ku Hamid pada 2 Oktober 2014 untuk pembebasan anak saudaranya di kem transit Wang Kelian itu.

Bekas pegawai penyiasat Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Bukit Aman itu memberitahu, hanya satu transaksi membabitkan kes itu melalui akaun lelaki berkenaan berkaitan migran membabitkan lelaki kelahiran Myanmar itu.

Menurutnya, mengenai Ariffin pula, terdapat dua kemasukan ke akaun CIMB milik lelaki itu berjumlah RM5,800 pada 25 November 2014.

“Wang itu didepositkan oleh seorang etnik Rohingya iaitu Zaidul Islam untuk pembebasan pak ciknya di kem tahanan di sebelah Thailand,” katanya.

Ahli panel RCI diberitahu bahawa Zaidul Islam itu adalah seorang daripada 38 Pati yang ditahan dalam serbuan ke kem transit berkenaan pada Mac 2015.

Katanya, pihak berkuasa turut menyita dan melucut hak harta bernilai RM41,000 daripada kedua-dua lelaki terbabit termasuk sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton.

Menurutnya, perintah menyita dan melucut hak harta itu dikeluarkan Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah pada 7 Julai 2015.

Panel RCI kemudian memanggil semula saksi pertama, Koperal Mat Ten dari Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan dua orang awam.

Bagaimanapun, prosiding dijalankan di hadapan enam panel dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria itu dijalankan secara tertutup.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi RCI yang juga bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai.

Ahli lain ialah bekas Ketua Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Datuk Noorbahri Baharuddin; bekas Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Tan Sri Razali Ismail dan bekas Ketua Penyelidik, Jabatan Peguam Negara, Datuk Junaidah Abdul Rahman.

Selain itu, panel RCI ialah bekas Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussin dan bekas Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Dr Tan Seng Giaw.

Pegawai Pengendali, Saiful Hazmi Mohd Saad dan Khairul Anuar Abd Halim.

Pada 2015, negara dikejutkan dengan penemuan 139 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di puncak Bukit Wang Burma di Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 6:05 AM