Wan Ahmad Hamirudeen (kanan) pada sesi pendengaran awam RCI di Kementerian Dalam Negeri hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Wan Ahmad Hamirudeen (kanan) pada sesi pendengaran awam RCI di Kementerian Dalam Negeri hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Hairulazim Mahmud


AKAUN bank milik rakyat Malaysia dikesan dalam dokumen yang ditemui di kem penempatan pendatang asing di Bukit Wang Burma, Wang Kelian melalui operasi pada 23 Januari 2015.

Pegawai Turus Bahagian Perlindungan Keselamatan (E6) Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Asisten Superintendan Wan Ahmad Hamirudeen Wan Ahmad berkata, beberapa dokumen lain daripada Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis (IPD) Padang Besar Inspektor Jamaluddin Shah turut diterimanya ketika operasi itu.

“Hasil analisa daripada dokumen berkenaan terdapat beberapa nama, nombor telefon dan nombor akaun bank sama ada dari Malaysia dan luar negara.

“Ada kesan satu nombor akaun orang tempatan Malaysia, bank Malaysia,” katanya kepada panel Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem dan kubur di Wang Kelian, Perlis.

Bagaimanapun apabila ditanya lanjut berkaitan nama pemilik akaun itu, Wan Ahmad berkata, maklumat itu sulit.

Berikutan itu Pengerusi RCI Tun Arifin Zakaria meminta semua pengamal media dan orang awam keluar dari galeri pendengaran awam berkenaan sebelum prosiding diteruskan.

Terdahulu Wan Ahmad yang juga saksi ke-19 berkata, pada 23 Januari 2015 dia bersama pasukan terdiri daripada pegawai dan anggota Cawangan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah dan Pasukan Gerakan Am (PGA) mendaki Bukit Wang Burma.

“Saya naik ke atas untuk melihat dan menyiasat kewujudan kem berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pasukannya menemui lima kem penempatan kosong, lama dan mungkin akan digunakan semula.

Sebaik saja memperoleh semua maklumat yang diperlukan, beliau memaklumkan kepada Ketua Cawangan Khas dan Bukit Aman untuk tindakan selanjutnya.

Prosiding RCI ditangguhkan sebelum dijadual disambung semula pada 7 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 6:25 PM