MANGSA maut di lokasi kejadian. FOTO ihsan polis
MANGSA maut di lokasi kejadian. FOTO ihsan polis
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


OPERATOR kren maut apabila motosikal ditunggang terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 280.4, Lebuhraya PLUS, arah selatan, berhampiran Plaza Tol Nilai, semalam.

Dalam kejadian 7 malam itu, mangsa, Mohammad Rizal Mazlan, 25, menunggang Naza Blade 250 bersendirian.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, lelaki itu dari rumahnya di Jalan Hj Ibrahim, Jeram, Selangor menuju ke Johor Bahru.

Setibanya di lokasi, motosikal itu hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan di sebelah kanan.

“Mangsa tercampak dan maut di lokasi kejadian. Pihak kami menerima panggilan orang awam mengerahkan sepasukan anggota ke lokasi,” katanya.

Mohd Nor Marzukee berkata, mayat dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, dan dibedah siasat hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 9:35 AM