Motosikal milik suspek disita selepas dipercayai digunakan untuk berlumba dan ditunggang secara melulu. FOTO Ihsan PDRM
Motosikal milik suspek disita selepas dipercayai digunakan untuk berlumba dan ditunggang secara melulu. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PADAH berlumba motosikal ketika Maghrib, dua lelaki ditahan polis di Jalan Eka Matahari, berhampiran Sendayan, Nilai, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, suspek berusia 19 dan 22 tahun itu ditahan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, kira-kira 7 malam.

Menurutnya, polis yang menjalankan risikan 6.30 petang mendapati dua lelaki itu menunggang secara melulu dengan membongkokkan badan, selain membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

“Mereka dipercayai berlumba sebelum polis menahan mereka,” katanya kepada wartawan Harian Metro, hari ini.

Mohd Nor Marzukee berkata, kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai untuk siasatan lanjut, manakala dua motosikal Yamaha 125Z disita.

Katanya, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban untuk permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 9:28 PM