BASIKAL digunakan mangsa turut ditemui di kebun getah terbabit. FOTO Ihsan Bomba
BASIKAL digunakan mangsa turut ditemui di kebun getah terbabit. FOTO Ihsan Bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


LELAKI warga emas dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Baru Cina untuk menoreh getah di kebun berhampiran Taman Sahabat, di Semenyih, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih Zainal Elias Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu 10.02 malam tadi.

“Seramai sembilan anggota termasuk pasukan bomba bantuan bersama dua jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami dimaklumkan mangsa tidak pulang ke rumah selepas keluar sejak awal pagi semalam untuk menoreh getah. Berdasarkan keterangan saksi, mangsa lazimnya akan balik waktu tengah hari.

“Berdasarkan maklumat itu, kami melakukan pencarian bagi mengesan mangsa yang dipercayai hilang di dalam kebun getah berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Zainal Elias berkata, pencarian di kawasan kebun getah itu menemui basikal dan satu tong mengandungi getah dipercayai digunakan mangsa, Chong Koy Fatt, 79.

“Setakat 7 pagi tadi, kami masih belum menemui mangsa di kawasan kebun getah berkenaan.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan dengan bantuan daripada pihak polis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 8:39 AM