Anggota bomba mengusung Ho Chiew Wei yang terkandas di Bukit Broga, Semenyih akibat kaki terseliuh. FOTO Ihsan Bomba.
Anggota bomba mengusung Ho Chiew Wei yang terkandas di Bukit Broga, Semenyih akibat kaki terseliuh. FOTO Ihsan Bomba.
Nurul Hidayah Bahaudin


ANGGOTA bomba menyelamatkan seorang penuntut wanita sebuah kolej swasta yang terkandas di Bukit Broga, Semenyih, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9 pagi, mangsa, Ho Chiew Wei, 23, dipercayai terseliuh pada pergelangan kaki kanan ketika mendaki bukit berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih Zainal Elias Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.12 pagi.

“Seramai sembilan pegawai dan anggota termasuk pasukan bomba bantuan bersama dua jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Mangsa ditemui di pertengahan bukit berkenaan, dia kemudian diberikan rawatan awal sebelum diusung ke kaki bukit,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan sebelum dikejarkan ke Hospital Kajang untuk diberi rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 3:07 PM