Keratan laporan semalam.
Keratan laporan semalam.
Muhamaad Razis Ismail & Ramli Ibrahim


JABATAN Kesihatan Kelantan mengesahkan penyakit kulit yang dihidapi Orang Asli suku kaum Batek di Kampung Kuala Koh, Gua Musang berpunca daripada jangkitan kulat atau fungal.

Pengarahnya, Dr Zaini Hussin berkata, tidak menolak kemungkinan penduduk kampung itu dijangkiti fungal jenis Tinea Imbricata mahupun Tinea Corporis.

“Jangkitan ini mudah merebak melalui sentuhan terus dengan orang yang dijangkiti dan sentuhan secara tidak langsung seperti pakaian, tilam dan bantal pesakit.

“Simptom yang dikesan termasuk kulit menggelupas, kulit berkuping, warna kemerahan dan sekiranya menjangkiti kepala, ia boleh mengakibatkan keguguran,” katanya ketika dihubungi di Kota Bharu, hari ini.

Dr Zaini berkata, rawatan untuk penyakit itu mengambil masa lama termasuk pesakit perlu dimasukkan ke wad bagi memastikan patuh dalam pengambilan ubat sesuai.

“Pesakit akan diberi ubat anti fungal yang betul dari kuantiti dos, kekerapan dan jangka masa betul.

“Jabatan Kesihatan melalui Pejabat Kesihatan Gua Musang dan Pasukan Bergerak Hospital Orang Asli Gombak mempunyai jadual berkala ke kawasan Orang Asli untuk memberikan perkhidmatan kesihatan,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan 120 penduduk Orang Asli di kampung itu diserang penyakit kulit bersisik dan kudis yang misteri sejak tiga bulan lalu.

Ia membabitkan 30 keluarga berusia antara dua hingga 30 tahun.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid berkata, sikap Orang Asli sendiri yang enggan menerima rawatan menjadi punca penyakit kulit merebak.

Katanya, pihaknya sudah beberapa kali melakukan kunjungan rawatan termasuk menyediakan bas untuk membawa mereka ke Hospital Gua Musang (HGM) tetapi mereka menghilangkan diri ke hutan.

“Mereka dipujuk untuk dibawa ke hospital tetapi enggan naik bas menyebabkan penyakit itu semakin merebak. Apa yang kita harapkan, mereka bersedia menerima rawatan selepas itu supaya penyakit dapat ditangani,” katanya.


INFO

  • Fungal jenis Tinea Imbricata atau Tinea Corporis boleh terjadi apabila:

    - Bersesak di kawasan panas dan lembab.

    - Amalan cara hidup kurang bersih - berkongsi tuala, memakai pakaian lembab, pakai stokin sama berulang-kali, kuku panjang dan berjalan tanpa kasut.

     

  • Simptom:

    - Kulit mengelupas

    - Kulit berkuping

    - Warna kemerahan

    - Keguguran rambut jika di kepala.

    Berita berkaitan

    120 Orang Asli diserang penyakit misteri

  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 3:37 PM