Abdul Khair  dinobatkan johan Kategori Qari sempena Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan, semalam.
Abdul Khair dinobatkan johan Kategori Qari sempena Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan, semalam.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PENYERTAAN kali kelima akhirnya membuahkan hasil apabila pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak, Selangor, Abdul Khair Jalil, 40, dinobatkan sebagai johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1440H/ 2019M di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS), malam kelmarin.

Melalui kemenangan itu, Abdul khair yang mewakili Selangor membawa pulang RM15,000, tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji, cenderahati dan sijil yang disampaikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Anak sulung daripada tujuh beradik itu berkata, dia menyertai tilawah peringkat kebangsaan pada 2011, 2012, 2015, 2018 dan tahun ini.

“Pencapaian terbaik pernah dikecapai sebagai naib johan pada 2015. Alhamdulillah malam ini rezeki memihak kepada saya,” katanya sebaik majlis penutupan program.

Katanya, dia mendedikasikan kemenangan kepada arwah ayahnya, Jalil Sukimi yang meninggal dunia pada 2016.

“Arwah ayah pencetus kemenangan ini. Sejak kecil ayah sentiasa beri sokongan, doa dan mengiringi ke mana saja saya menyertai tilawah,” katanya.

Menurut Abdul Khair, dia kini memberi tumpuan mewakili negara pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 15 hingga 20 April depan.

“Persiapan saya seperti biasa iaitu bersama penuntut kerana mengadakan kelas al-Quran dan taranum di UIA. Saya juga berlatih di Masjid Negeri di Shah Alam, Selangor melalui program yang dianjurkan,” katanya.

Sementara itu naib johan tilawah, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menyokongnya.

“Walaupun saya buta ia bukan penghalang mencapai kejayaan. Kecacatan saya mungkin di luaran, tetapi saya sentiasa mahu menerangi hati melalui al-Quran,” kata qari dari Kelantan itu.

Dalam majlis hafazan dari Juzuk 1 hingga 10, qari dan qariah dari Selangor, Muhammad Al Nawawi Borhan dan Umni Nadjah Abd Samad dinobatkan sebagai johan.

Selangor sekali lagi membuktikan kehebatan apabila Ahmad Luqman Ismail diumumkan johan bagi Juzuk 1 hingga 20 manakala kategori wanita dimenangi qariah Perak, Adibah Husni Ahmad Rozaidi. Mereka menerima RM7,000 dan tambahan RM7,000 untuk menunaikan umrah.

Bagi Juzuk 1 hingga 30, tuah menjadi milik qari Kelantan, Abdullah Ulwan Ismail dan qariah Kedah, Raudah Abdul Razak yang menerima RM15,000, tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji serta akaun Al-Awfar RM20,000 sumbangan Bank Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 8:02 AM