KUALA TERENGGANU 20 MAC 2019. ADUN Wanita, Zuraida Md Noor (kanan) bersama penceramah bebas, Datuk Dr Norhafizah Musa (dua dari kanan) pada Majlis Perasmian Program Jelajah Untukmu Wanita Peringkat Daerah Kuala Terengganu di Masjid Al-Hijrah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran. STR/ZAID SALIM
KUALA TERENGGANU 20 MAC 2019. ADUN Wanita, Zuraida Md Noor (kanan) bersama penceramah bebas, Datuk Dr Norhafizah Musa (dua dari kanan) pada Majlis Perasmian Program Jelajah Untukmu Wanita Peringkat Daerah Kuala Terengganu di Masjid Al-Hijrah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran. STR/ZAID SALIM
Zaid Salim


KERAJAAN negeri tidak menolak hiburan dan komited memastikan bentuk hiburan di Terengganu bertepatan dengan syariat Islam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, setiap bentuk hiburan perlu bertepatan dengan syariat Islam bagi mengelak berlaku perkara yang boleh mencemarkan nilai agama Islam.

Katanya, kerajaan negeri akan terus mempertingkatkan kempen menutup aurat dengan sempurna bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya golongan muda mengenai kewajipan menutup aurat mengikut syariat Islam

“Kerja dakwah adalah berterusan dan kita akan memperbanyakkan lagi program berbentuk ilmiah di samping tidak menyekat program yang berbentuk hiburan tetapi perlu mematuhi syarat yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Program Jelajah Untukmu Wanita Peringkat Daerah Kuala Terengganu di Masjid Al-Hijrah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran, Kuala Terengganu.

Turut hadir, ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed; Pegawai Khas Hal Ehwal Wanita Pejabat Menteri Besar, Khairiah Mokti; Pendakwah Bebas, Datuk Dr Norhafizah Musa dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) PPR Hiliran, Zamri Awang.

Lebih 2,000 peserta daripada kalangan masyarakat setempat hadir pada program berkenaan.

Zuraida berkata, kempen menutup aurat dengan sempurna khususnya kepada golongan wanita dimulakan dengan penganjuran program Terengganu Hijab Day pada awal Februari lalu.

Katanya, selain kesedaran diri sendiri, peranan ibu bapa, guru dan masyarakat sangat penting untuk mendidik anak-anak dan generasi baharu supaya menutup aurat dengan sempurna.

“Kita akan berusaha menggerakkan usaha dakwah secara jalanan (street dakwah) sebagai usaha menyampaikan tarbiyah kepada kumpulan sasaran.

“Menerusi dakwah jalanan, kita akan mengedarkan risalah dakwah berkaitan aurat, pakaian yang sempurna, pakaian yang digariskan Islam kepada anak muda, remaja, belia dan beliawanis serta wanita dan golongan ibu bapa.

“Kempen yang diadakan ini lebih kepada proses mendidik masyarakat selaras dengan hasrat kerajaan negeri menggalakkan rakyat sentiasa mematuhi ajaran agama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 8:32 PM