Farid Kamil hadir perbicaraan di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya. FOTO NSTP
Farid Kamil hadir perbicaraan di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya. FOTO NSTP
Sarah Zulkifli


PERBICARAAN kes pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil Zahari yang didakwa menampar anggota polis trafik dan orang awam, selain kes penyalahgunaan dadah ditangguhkan Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.

Ini kerana, peguam yang mewakili Farid Kamil masih belum sembuh daripada kecederaan akibat kemalangan, minggu lalu.

Perkara itu dimaklumkan peguam Mohd Hafiz Zainol Abidin yang menyebut bagi pihak peguam Megat Syazlee Mokhtarom dalam prosiding semula kes itu di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

“Untuk makluman, Megat masih dalam cuti sakit sehingga 14 Februari depan selepas menjalani pembedahan tangan pada 23 Januari lalu berikutan kemalangan dan mengalami kecederaan serius ketika menunggang motosikalnya, baru-baru ini,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran tidak membantah dan memohon tarikh baru kesemua kes bicara yang dihadapi Farid Kamil selepas dimaklumkan keadaan Megat Syazlee.

Dalam prosiding itu, pihak pembelaan turut mengemukakan cuti sakit Mega Syazlee kepada mahkamah.

Nor Ariffin kemudian menetapkan 27 Februari dan 13, 14, dan 15 Mac depan untuk sambung bicara membabitkan pelakon utama Lagenda Budak Setan itu.

Sementara itu, ketika ditemui di luar bilik bicara, Farid Kamil berkata, tarikh bicara pada hari ini lapang kerana sebab yang tidak dapat dielakkan, selain dua lagi saksi akan dipanggil pada tarikh ditetapkan.

Pada 16 Januari tahun lalu, Farid Kamil mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan, iaitu mendatangkan kecederaan kepada seorang orang awam dan anggota polis, menghalang anggota polis menjalankan tugas dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kesat di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara kira-kira jam 1.20 petang, 11 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 2:32 PM