FARID Kamil. FOTO Arkib NSTP
FARID Kamil. FOTO Arkib NSTP
Farah Marshita Abdul Patah


PELAKON dan pengarah Datuk Farid Kamil yang didakwa atas lima tuduhan kes jenayah, Januari lalu, melantik peguam baharu bagi mewakilinya.

Peguam Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakili Farid memberitahu Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini, beliau akan mengambil alih kes itu daripada peguam sebelumnya.

Sehubungan itu, Majistret Nor Ariffin Hisham mengekalkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini selama enam hari bermula 26 November ini.

Megat Syazlee ketika ditemui media memberitahu, pihaknya juga sudah menerima semua dokumen berhubung perbicaraan itu.

Sebelum ini, pelakon utama Lagenda Budak Setan berkenaan diwakili peguam Wan Shahril Wan Mamat.

Pada 16 Januari lalu, Farid berdepan empat pertuduhan iaitu mendatangkan kecederaan kepada seorang orang awam dan anggota polis, menghalang anggota polis menjalankan tugas dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kesat di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara, jam 1.20 tengah hari, 11 Januari lalu.

Sembilan hari kemudian, Farid Kamil turut didakwa menggunakan dadah berbahaya Tetra Hydrocannibol (THC), iaitu `11-nor -tetra hydrocannabinol-9-carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya jam 4.30 petang pada hari sama.

Sementara itu, pada 9 Mac lalu, Farid Kamil didakwa sekali lagi atas pertuduhan mereka keterangan palsu bersabit satu laporan polis dengan memasukkan keterangan tidak benar yang mana laporan itu boleh digunakan dalam prosiding jenayah dan diambil pertimbangan oleh pegawai polis yang menerima laporan itu.

Pengarah filem V3 Samseng Jalanan itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur jam 5.54 petang, 31 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 4:56 PM