Pasukan yang dinamakan Transwomen United adalah pasukan luar dan bertanding dalam kategori lelaki. Foto ihsan UPSI.
Pasukan yang dinamakan Transwomen United adalah pasukan luar dan bertanding dalam kategori lelaki. Foto ihsan UPSI.
Muhammad Apendy Issahak


UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak, menafikan penganjuran Kejohanan Bola Jaring Antarabangsa UPSI ke-4 yang diadakan di universiti berkenaan minggu lalu membabitkan kategori transgender.

Timbalan Naib Canselor UPSI (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr. Md Amin Md Taff, berkata pihak Pusat Sukan bersama Kolej Harun Aminurrashid dan Kelab Bola Jaring UPSI menganjurkan kejohanan itu pada 8 hingga 10 Mac lalu.

Menurutnya, sebanyak dua kategori utama dipertandingkan dalam kejohanan itu iaitu kategori wanita dan lelaki seperti mana kerap dilaksanakan dalam kejohanan bola jaring terbuka lain.

“Antara syarat pertandingan adalah mengikut peraturan Pertandingan Persatuan Bola Jaring Kebangsaan dan Antarabangsa.

“Pasukan yang dinamakan Transwomen United adalah pasukan luar dan bukannya dalam kalangan pelajar UPSI . Mereka bertanding dalam kategori lelaki mengikut nama setiap pemain yang tercatat dalam borang penyertaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan itu bagi menjawab penularan di media sosial mengenai dakwaan kumpulan Lesbian Gay Biseksual dan Transgender (LGBT) sudah diterima masuk di UPSI yang menyertai pertandingan bola jaring anjuran universiti berkenaan.

Menurutnya, tiada kategori transgender atau LGBT yang dipertandingkan dalam kejohanan itu dan pihak universiti sentiasa peka dengan isu LGBT selaras dengan pendirian kerajaan.

“Bersama ini disertakan bukti borang penyertaan dan borang kategori kemenangan yang menolak sekeras-kerasnya persepsi bahawa kumpulan ini bertanding dalam kategori transgender,” katanya.

Sementara itu, Pengarah kejohanan, Arif Radin yang mewakili Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid, dalam satu kenyataan berkata, pasukan yang dinamakan Transwomen United itu masuk dalam kategori lelaki dan bukannya kategori khas transgender.

“Mungkin fizikal mereka nampak sebegitu, tetapi mereka masuk mengikut kategori yang betul seperti dalam kad pengenalan mereka.

“Tapisan kumpulan dilakukan oleh Pusat Sukan UPSI dan kami hanya menguruskan sepenuhnya pada hari kejohanan sahaja,” katanya.

Arif berkata, pihaknya memohon kemaafan ke atas sebarang permasalahan yang berlaku dan menegaskan UPSI komited untuk menentang LGBT dan kumpulan sedemikian akan disenarai hitam pada kejohanan akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 7:07 PM