Sebahagian daripada 4,000 pelajar UPSI menyanyikan 10 lagu patriotik tanpa henti  di Dewan Besar, Kampus Sultan Azlan Shah.
Sebahagian daripada 4,000 pelajar UPSI menyanyikan 10 lagu patriotik tanpa henti di Dewan Besar, Kampus Sultan Azlan Shah.
Oleh Ihsan Noorzali


Tanjung Malim: Penyertaan 4,000 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyanyikan 10 lagu patriotik beramai-ramai tanpa henti berjaya mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR), kelmarin.

Kumpulan pelajar terbabit mencipta rekod ‘Menyanyi Lagu Patriotik Teramai’ yang diadakan di Dewan Besar, Kampus Sultan Azlan Shah dan dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam Datuk Rosni Sohar.

Program itu dianjurkan Biro Perpaduan dan Integrasi, Majlis Mahasiswa Kolej (MMK), Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) UPSI.

Pengarah program, Alex anak Demong berkata, walaupun program itu tidak diadakan pada bulan kemerdekaan, namun semangat patriotik dan perpaduan perlu wujud sepanjang masa.

“Kami menyasarkan 3,000 pelajar mengambil bahagian menyanyikan 10 lagu patriotik tetapi sambutan di luar jangkaan apabila 4,000 mendaftar dan menyanyi bersama,” katanya.

Sementara itu, Rosni berkata, pihaknya bangga dengan semangat ditunjukkan warga UPSI khasnya pelajar dalam menjayakan program yang boleh membangkitkan semangat patriotisme itu.

“Sebagai negara yang mempunyai masyarakat majmuk, seluruh rakyat termasuk pelajar perlu bersatu-padu memupuk semangat patriotik dan perpaduan antara kaum,” katanya.

Program itu berakhir jam 11.30 malam sebelum Rosni menyampaikan sijil pengiktirafan MBOR kepada Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI Prof Dr Mohd Sahandri Gani Hamzah disaksikan Pengetua Kolej Harun Aminurrashid Syed Ismail Syed Mohamad.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2015 @ 5:20 AM