SYAKIRA (tiga kanan) menunjukkan piala Pesta Bola Jaring Antarabangsa USM.
SYAKIRA (tiga kanan) menunjukkan piala Pesta Bola Jaring Antarabangsa USM.
Oleh Syed Ismail Syed Abu Bakar

Georgetown: Pesta Bola Jaring Antarabangsa Universiti Sains Malaysia (USM) edisi ke-25 berjaya menarik penyertaan 150 pasukan untuk berentap merebut hadiah lumayan bernilai RM16,100 sepanjang tiga hari kejohanan mulai 23 Oktober depan di Stadium USM, Minden.

Pesta sukan itu akan bermula jam 8 pagi hingga 5 petang yang juga program tahunan bertujuan menyemarakkan budaya bersukan tanpa mengira umur, jantina dan dilihat sebagai pemangkin sukan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara ini.

Pengerusi kejohanan, Syakira Aina Mohd Rashid berkata, sembilan kategori dipertandingkan membabitkan bawah 18 tahun, 15 tahun, 12 tahun, kategori IPTA dan IPTS serta kategori terbuka lelaki dan wanita.

“Kejohanan ini turut mendapat perhatian peserta luar negara termasuk Sri Lanka, Australia dan Thailand yang sudah mengesahkan penyertaan dan ini secara tidak langsung dapat mempromosikan Pulau Pinang sebagai sosio-ekonomi pelancongan sukan paling sesuai dan menarik dikunjungi.

“Kami masih menunggu keputusan beberapa negara luar lain termasuk Singapura dan Brunei untuk bersama-sama menyertai kejohanan berprestij tahun ini,” katanya ketika ditemui di Pusat Sukan USM, Minden, baru-baru ini.

Syakira berkata, pemenang bakal menerima hadiah wang tunai, pingat, piala iringan dan hamper yang disediakan penaja serta penganjur yang akan disampaikan Penaung Pesta Bola Jaring Antarabangsa USM 2012, Toh Puan Majimor Shariff yang juga isteri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas.

Beliau berkata, penganjur berjaya menyediakan hadiah paling lumayan dalam sejarah penganjuran bola jaring dan masih mengekalkan tradisi permainan di permukaan padang berumput.

“Seperti penganjuran pesta sebelum ini, keupayaan pelajar menganjurkan kejohanan bertaraf dunia ini harus diberi pujian, sekali gus dapat memberi pengalaman yang turut membina sahsiah serta mematangkan mereka di dalam memahami realiti kehidupan sebenar.

“Pesta Bola Jaring dapat dijadikan sebagai ikon kejohanan sukan negara agar ia lebih dirasai oleh masyarakat dunia, sekali gus turut mengembangkan keupayaan kejohanan besar ke arah sukan lain yang turut ditawarkan di USM,” katanya.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi Sekretariat Utama Pesta Bola Jaring Antarabangsa 2015 di Pusat Sukan dan Rekreasi USM di talian 04-6532687 dan 04-6534523 atau layari laman web kejohanan http://pbj.usm.my/.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 7:43 AM