Anggota bomba dan penyelamat Skudai berusaha membawa mangsa naik ke atas tebing Sungai Pulai Mutiara, Skudai, Johor, petang tadi. FOTO ihsan bomba
Anggota bomba dan penyelamat Skudai berusaha membawa mangsa naik ke atas tebing Sungai Pulai Mutiara, Skudai, Johor, petang tadi. FOTO ihsan bomba
Mohd Sabran Md Sani


BERPANTANG maut sebelum ajal. Itulah nasib dilalui seorang lelaki berusia 35 tahun apabila ditemui terjatuh ke dalam Sungai Pulai Mutiara, Skudai, Johor, petang tadi.

Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Skudai, Suraini Adnan berkata, tindakan menyelamatkan mangsa dilakukan susulan aduan awam diterima pihaknya.

Menurutnya, sebuah jentera bersama sembilan anggota dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan jam 4.41 petang tadi.

"Setibanya di lokasi kejadian didapati seorang lelaki terjatuh di dalam Sungai Pulai Mutiara, Skudai.

"Mangsa mengalami patah pahanya dipercayai akibat terjatuh ketika mahu membuang air kecil di kawasan itu," katanya.

Mangsa bernasib baik kerana ditemui orang awam sebelum kejadian itu dilaporkan kepada anggota bomba dan penyelamat bagi mendapatkan bantuan.

Katanya, mangsa mendakwa sudah tiga hari terjatuh di kawasan itu dan tidak berdaya bangun kerana pahanya patah.

Mangsa yang berjaya dibawa naik ke atas tebing kemudian dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.

Terdahulu tular beberapa keping gambar dikongsi Facebook (FB) Balai Bomba dan Penyelamat Skudai mengenai usaha menyelamatkan mangsa lelaki yang terjatuh di Sungai Pulai Mutiara, Skudai.

Tular itu menyatakan mangsa lelaki dewasa mengalami patah tulang paha selepas bertarung nyawa tiga hari di kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 11:16 PM