ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa yang rentung dalam kemalangan di Jalan Besar Palong Lapan, Jempol, hari ini. FOTO ihsan bomba.
ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa yang rentung dalam kemalangan di Jalan Besar Palong Lapan, Jempol, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Abnor Hamizam Abd Manap


PEMANDU kereta yang rentung dalam kemalangan di Jalan Besar Palong Lapan, Jempol, hari ini dikenali sebagai Radzuan Jaklan, 63.

Mayat peneroka FELDA itu dikenal pasti anaknya Nasharuddin, 37, yang datang ke lokasi selepas dimaklumkan mengenai kejadian.

Nasharuddin berkata, dia terkejut selepas dimaklumkan mengenai kemalangan menimpa bapanya itu yang hilang sejak Sabtu lalu.

“Kali terakhir saya bertemu ayah pada malam Jumaat lalu ketika pulang bercuti di kampung. Keesokannya ayah keluar rumah dan tidak pulang semula menyebabkan kami sekeluarga risau.

“Puas saya mencari ayah di merata tempat termasuk mendapatkan bantuan jiran serta rakan selain menghebahkan mengenai kehilangan ayah itu di Facebook.

“Ayah seorang yang pendiam dan tidak menceritakan masalah dihadapinya menyebabkan kami buntu dengan kehilangannya itu,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Jempol, hari ini.

Nasharuddin berkata, selepas pelbagai usaha mencari bapanya tidak membuahkan hasil dia membuat laporan di Balai Polis Ladang Geddes, semalam.

“Selepas buat laporan, saya pulang ke Kuala Lumpur untuk menghantar isteri serta anak dan ke tempat kerja untuk memohon cuti bagi mencari ayah.

“Bagaimanapun ketika dalam perjalanan pulang ke kampung pagi tadi, saya menerima panggilan daripada orang awam memberitahu kereta Proton Gen 2 seakan-akan kereta ayah saya terbakar menyebabkan saya bergegas ke lokasi,” katanya.

Beliau berkata, sebaik tiba adiknya Mohd Al-Fateh, 31, sudah berada di lokasi kejadian dan memaklumkan bapanya terbabit kemalangan itu.

Menurutnya, biarpun masih terkejut dan sedih dengan kejadian itu, namun dia reda dengan takdir Ilahi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, berdasarkan siasatan awal kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas masuk ke gaung sedalam empat meter.

Beliau berkata, kemalangan itu menyebabkan kereta mangsa terbakar dan mayatnya ditemui rentung.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita berkaitan

'Pemandu ditemui rentung dalam kereta [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 7:30 PM