AZMAN (kanan) ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Jempol. FOTO Adzlan Sidek
AZMAN (kanan) ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Jempol. FOTO Adzlan Sidek
Raja Noraina Raja Rahim dan Abnor Hamizam Abd Manap


AHLI keluarga suami isteri yang maut dalam kemalangan di Kilometer 25 Jalan Bahau-Keratong, Jempol, hanya mengetahui kejadian itu menerusi Facebook.

Pasangan terbabit Osman Mohamed Taip, 31, dan isteri Rosniza Othman, 32, bersama anak lelakinya Muhammad Alifthaqif Osman, 3, menaiki Perodua Myvi dari Bangi untuk pulang ke kampung di Endau, Johor sebelum terbabit kemalangan.

Abang Osman, Azman, 47, berkata, rakan adiknya menghantar mesej menerusi Facebook memberitahu ada kecemasan dan meminta dia menghubunginya segera.

Selepas dihubungi, rakan adiknya berkata, Osman dan keluarga meninggal dunia akibat kemalangan dan berita serta gambar kemalangan dilihatnya menerusi Facebook.

"Dia menghantar gambar kereta Osman kepada saya dan saya pasti memang itu adik saya.

"Saya kemudian bertanyakan ahli keluarga Rosniza dan mereka juga mengesahkan kejadian itu. Selepas itu, saya segera datang ke Hospital Jempol untuk pengecaman," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Jempol.

Menurutnya, anak lelaki pasangan itu patah tangan kiri dan kini stabil dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah.

Azman berkata, keluarga akan mengadakan perbincangan mengenai penjagaan Muhammad Alifthaqif selepas selesai urusan pengebumian itu.

Katanya, jenazah Osman akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Sungai Merab Luar, Kajang manakala jenazah Rosniza akan dikebumikan di Jalan Mersing, Endau, Johor.

Setakat ini, proses bedah siasat jenazah pasangan itu dan enam lagi mangsa masih berjalan.

Berita berkaitan:

[UPDATE] Kebumi dalam satu liang lahad

Suasana pilu di bilik mayat Hospital Jempol

Pemandu treler direman

[UPDATE] 'Semua ahli keluarga saya sudah tiada...'

'[UPDATE] 'Api marak, betul-betul bawah treler...'

[UPDATE] Seorang lagi ditemui rentung, 8 maut [METROTV]

7 maut, 5 daripadanya rentung

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2017 @ 3:17 PM