SUPERINTENDAN Shamsudin Mamat menunjukkan peralatan yang dirampas daripada suspek mencuri lembu. FOTO Safuri Kamarudin
SUPERINTENDAN Shamsudin Mamat menunjukkan peralatan yang dirampas daripada suspek mencuri lembu. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin


Baling: Selama dua tahun aktif mencuri lembu, akhirnya 'Geng Mat Beruk' dan 'Geng Azhar' tumpas selepas anggotanya ditahan polis pada Ops Khas curi lembu serta kenderaan di sekitar Kedah, Perak serta Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Shamsudin Mamat berkata, Geng Mat Beruk dan Geng Azhar aktif mencuri lembu sejak 2018 sebelum menjual dagingnya di pasaran pada harga murah.

"Tangkapan pertama membabitkan Geng Mat Beruk. Kami menahan dua lelaki dan dua perempuan. Ia dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

"Empat suspek ini yang berusia 22 hingga 36 tahun ini ditahan di perkarangan parkir kenderaan berhampiran Stesen Bas Kulim, jam 10 pagi 27 Disember lalu," katanya pada sidang media di IPD Baling hari ini.

Menurut beliau, hasil soal-siasat, pihaknya menahan seorang lagi lelaki dalam Proton Wira berhampiran sebuah rumah di Taman Mutiara, Karangan, Kulim.

Ekoran penahanan kedua ini, polis menahan dua lagi lelaki di Kampung Tepi Sungai, Tasek Gelugur, Pulau Pinang.

"Kesemua suspek ditahan pada hari yang sama. Kami turut merampas peralatan untuk mencuri lembu termasuk cecair ubat pelali untuk menyumpit haiwan itu," katanya.

Shamsudin berkata, ujian saringan air kencing terhadap enam suspek mendapati, kesemuanya positif syabu selain memiliki rekod jenayah lampau.

Suspek ketujuh pula adalah pembeli dan menjual daging lembu yang dicuri itu.

Menurut beliau, kumpulan terbabit turut menggunakan kenderaan curi untuk mencuri lembu.

"Dengan tumpasnya Geng Mat Beruk, kami berjaya menyelesaikan 20 kes curi lembu di sekitar Baling, Kulim dan Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang selain kes curi kenderaan di Kemunting, Perak.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan serta Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

Berkaitan Geng Azhar, beliau berkata, pihaknya menahan lima suspek yang juga anggota kumpulan terbabit jam 10.30 pagi semalam, di tiga lokasi berasingan .

Beliau berkata, tangkapan pertama membabitkan tiga lelaki di Kampung Jawa Batu 2, Kuala Ketil.

"Tangkapan seterusnya membabitkan dua suspek di Kampung Tok Pawang Bedong dan Taman Ilmiah Kulim.

"Kesemua suspek berusia 22 sehingga 35 tahun mempunyai rekod jenayah lampau dan dadah. Malah empat daripada suspek turut positif syabu," katanya.

Shamsudin berkata, penahanan anggota Geng Azhar membolehkan pihaknya menyelesaikan 10 kes curi lembu di Baling dan Kuala Muda, Sungai Petani.

"Suspek direman sehingga 3 Januari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2020 @ 3:08 PM