Michael Chong bersama kedua-dua mangsa ah long. FOTO NSTP
Michael Chong bersama kedua-dua mangsa ah long. FOTO NSTP
Mohd Azam Shah Yaacob


NENEK berusia 62 tahun hidup dalam ketakutan apabila diganggu 21 ‘lintah darat’ yang menuntut hutang bekas suaminya, sejak Disember lalu.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Chan berkata, lintah darat atau ah long berkenaan bukan saja mengganggunya menerusi panggilan serta pesanan di WhatsApp, sebaliknya turut menyimbah cat merah di rumahnya.

Chan berkata, kejadian bermula pada 24 Disember lalu apabila dia mula menerima pesanan daripada 21 ah long yang menuntut wang berjumlah RM130,000 dipinjam bekas suaminya dikenali sebagai Chia, 66 tahun.

Katanya, selepas dia tidak melayan semua panggilan serta pesanan diterima di WhatsApp, beberapa ah long mula muncul di kawasan rumahnya.

“Mereka yang datang di rumah saya bukan saja bertindak menampal pelekat tertera gambar serta maklumat peribadi saya bagi memalukan saya, sebaliknya turut melempar cat merah.

“Kali pertama mereka melempar cat merah pada 8 Januari, kemudian pada 22 Januari dan terakhir pada 29 Januari lalu,” katanya ketika ditemui dalam sidang media yang dihadiri Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong di Wisma MCA , Kuala Lumpur, hari ini.

Chan berkata, dia tidak tahu serta tiada kena-mengena dengan hutang dibuat bekas suaminya itu dan meminta agar kumpulan lintah darat berkenaan berhenti mengganggunya.

Katanya, sebelum ini juga, dia pernah membantu menyelesaikan hutang suaminya yang juga kaki judi keseluruhannya berjumlah RM900,000.

“Saya sudah tiada wang lagi untuk membantunya dan saya memang tiada kena-mengena dengannya (suami) kerana sudah bercerai.

“Jadi, tak perlu ganggu saya lagi kerana saya juga tidak punyai wang mencukupi untuk berbelanja,” katanya.

Katanya, susulan tidak tahan diganggu, dia membuat satu laporan polis di Balai Polis Cheras pada 8 Januari lalu.

Sementara itu, dalam sidang media itu, seorang jurujual lelaki berusia 29 tahun turut mengalami nasib sama apabila diganggu ah long yang menuntutnya membayar wang RM120,000.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 5:26 PM